Layari laman ini dan buat sumbangan sekarang !
Seorang penerima manfaat akhirnya berpeluang menikmati kehidupan lebih selesa apabila menerima rumah baharu di Kampung Tualang Sekah, Malim Nawar di sini.
Mohammad Khirul Nizam Yahaya, 26, menerima bantuan rumah Program Sejahtera yang dilaksanakan oleh MBSB Bank dengan usahasama Islamic Relief Malaysia (IRM).
Menurutnya, sebelum ini, dia bersama isteri menumpang di rumah yang daif milik ibu bapanya dan mengakui kehidupannya mula berdepan tekanan selepas ibunya meninggal dunia disusuli bapanya dua tahun lalu.
“Selama ini kehidupan saya terasa sukar apatah lagi saya bertanggungjawab untuk menjaga dan memelihara tiga orang adik Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Penyakit saraf yang menyerang mereka secara tiba-tiba ketika usia masing-masing menginjak dewasa telah merubah seluruh kehidupan kami sekeluarga.
“Mereka perlukan penjagaan rapi dan ruang yang lebih besar dan selesa untuk bergerak dan menjalani kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Program Sejahtera baru-baru ini.
Hadir menyempurnakan majlis penyerahan kunci adalah adalah Ketua Jabatan Komunikasi Strategik MBSB Bank, Zuhaznim Izzuddin serta Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin
Sementara itu, menurut Zairulshahfuddin, IRM memandang serius terhadap kebajikan setiap penerima manfaat bagi memastikan mereka yang dibantu dapat menikmati kehidupan dengan lebih selesa dan selamat.
“Melihat sendiri cabaran yang dihadapi Khirul Nizam dalam menguruskan adik-adiknya yang OKU, kami percaya bahawa bantuan ini dapat meningkatkan lagi penjagaan dan kualiti hidup mereka sekeluarga.
“IRM ini wujud seperti jambatan untuk menghubungkan kami dengan mereka yang memerlukan. Program pada hari ini menyaksikan bahawa IRM tidak lupa dengan tanggungjawab terhadap masyarakat setempat,” jelas beliau ketika ditemui.
Projek pembinaan rumah tersebut yang bernilai RM57,000 mula dibina pada akhir Disember 2017 dan siap sepenuhnya pada Februari 2018.
Program Sejahtera merupakan sebuah projek kerjasama MBSB Bank dengan IRM di bawah sektor perlindungan (shelter), yang disasarkan untuk menaik taraf rumah para penerima manfaat terpilih di setiap negeri di seluruh Malaysia.
Ia merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat MBSB Bank yang diperkenalkan sejak pertengahan tahun 2016.
Objektif utama projek ini adalah untuk membina kediaman baru atau membaik pulih kediaman serta meningkatkan status kesihatan dengan menyediakan sistem pembetungan dan sanitasi yang baik agar penerima manfaat dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa dan selamat.
Ketua Jabatan Komunikasi Strategik MBSB Bank, Zuhaznim Izzuddin memberi aksi positif atas usahasama pihak MBSB Bank dan IRM kerana program ini dilihat dapat memberi impak yang besar kepada penerima manfaat.
“Kita telah bekerjasama dengan IRM sejak 2016 dalam mencari penerima manfaat untuk Program Sejahtera dan tahun lalu kami telah berjaya memberi sumbangan kepada lebih 30 penerima melalui kerjasama IRM,” jelas Zuhaznim ketika ditemui.
Sehingga kini, Program Sejahtera telah memberi manfaat kepada 16 keluarga pada tahun 2016 dan disusuli dengan 17 keluarga (2017) dan 15 keluarga tahun ini.
Reka bentuk rumah mengambil kira tahap keselamatan dan keperluan khusus penerima manfaat terutama golongan OKU. Rumah yang berkeluasan 20’ x 30’ itu memuatkan ruang tamu, dapur, tiga bilik tidur, satu bilik air dan satu tandas.
Untuk Pertanyaan MediaSebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:
Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief MalaysiaE-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.myTelefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434
Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.