Islamic Relief memberi amaran sempena Hari Kemanusiaan Sedunia (19 Ogos) bahawa serangan maut terhadap pekerja bantuan kini berada pada tahap paling tinggi dan terus berlaku tanpa sebarang tindakan undang-undang.

Data terkini yang diterbitkan minggu ini menunjukkan bahawa serangan maut ke atas pekerja bantuan telah meningkat sebanyak 400% dalam tempoh 20 tahun. Pada tahun 2023 sahaja, seramai 280 pekerja bantuan zterbunuh berbanding hanya 56 orang pada tahun 2004. Setakat ini pada tahun 2024, sekurang-kurangnya 176 orang lagi pekerja bantuan telah terkorban.

Serangan Israel ke atas Gaza menyumbang lebih separuh daripada jumlah kematian, dengan sekurang-kurangnya 286 pekerja bantuan yang hampir semuanya warga Palestin, terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober 2023. Pengeboman tanpa henti oleh Israel telah menjadikan Gaza sebagai tempat paling berbahaya di dunia untuk menyampaikan bantuan, di mana hospital, ambulans, sekolah, tempat perlindungan, konvoi bantuan, pejabat dan infrastruktur awam lain menjadi sasaran serangan dan dimusnahkan.

Pekerja bantuan turut menjadi sasaran di negara-negara lain seperti Sudan dan Sudan Selatan, yang termasuk antara lokasi berbahaya untuk mengagihkan bantuan. Sejak perang meletus di Sudan pada April 2023, sekurang-kurangnya 37 pekerja bantuan telah terbunuh, manakala berpuluh-puluh lagi kakitangan telah diserang dan lebih 120 pejabat serta gudang bantuan kemanusiaan telah dirompak oleh kumpulan bersenjata.

Tahun demi tahun, bilangan orang yang memerlukan bantuan kemanusiaan di seluruh dunia semakin meningkat. Justeru, serangan berterusan ke atas pekerja bantuan ini memberi kesan yang sangat buruk terhadap golongan memerlukan tersebut.

Serangan terhadap pekerja bantuan, premis, serta aset mereka telah melanggar undang-undang antarabangsa. Namun, semakin jelas bahawa undang-undang ini tidak diendahkan dan penyerang tidak dikenakan sebarang tindakan.

Islamic Relief menyeru negara anggota PBB untuk meningkatkan usaha bagi melindungi petugas kemanusiaan, aset, dan premis seperti yang digesa dalam

Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2730 yang diluluskan pada Mei tahun ini, serta memastikan pelaku serangan dihukum atas sebarang pelanggaran.

Langkah lebih serius juga perlu diambil untuk melindungi pekerja bantuan tempatan. Walaupun serangan ke atas pekerja bantuan antarabangsa seperti pembunuhan kakitangan World Central Kitchen di Gaza pada bulan April mendapat perhatian media dan kecaman global, kebanyakan pekerja bantuan yang dibunuh dan diserang juga adalah kakitangan tempatan yang kurang mendapat perhatian dunia.

Seorang pekerja bantuan Islamic Relief di Gaza berkongsi, “Pada bila-bila masa saja kami boleh menjadi mangsa seterusnya. Setiap hari kami pergi bekerja meninggalkan anak-anak dan keluarga, serta mempertaruhkan nyawa untuk membantu orang lain agar mereka terus hidup. Kami cuba sedaya upaya untuk membantu, walaupun keadaan sekeliling kami hampir lumpuh. Setiap hari mungkin menjadi hari terakhir bagi kami.”

Nota

Hari Kemanusiaan Sedunia diperkenalkan semasa Perhimpunan Agung PBB pada tahun 2009 untuk mengiktiraf pekerja kemanusiaan yang terkorban di seluruh dunia. Ia diraikan pada 19 Ogos setiap tahun untuk memperingati serangan pengeboman di ibu pejabat PBB di Baghdad pada tahun 2003, yang mengorbankan 22 nyawa.

Sumber data serangan ke atas pekerja bantuan diperoleh daripada Pangkalan Data Keselamatan Pekerja Bantuan yang diuruskan oleh Humanitarian Outcomes: https://www.aidworkersecurity.org/

Untuk Pertanyaan Media
Sebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:

Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief Malaysia
E-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.my
Telefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG