15 April 2026

Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) hari ini menganjurkan Majlis Kasih Syawal 2026 bagi meraikan 178 penghuni Rumah Seri Kenangan Cheras sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Majlis yang berlangsung hari ini turut menghimpunkan rakan strategik, ikon kemanusiaan serta rakan media dalam suasana penuh kemesraan dan kasih sayang.

Majlis Kasih Syawal merupakan satu inisiatif IR Malaysia yang bertujuan menyantuni komuniti, khususnya warga emas, di samping menghargai sokongan berterusan daripada rakan-rakan kerjasama yang sentiasa bersama dalam menjayakan misi kemanusiaan organisasi.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang majlis termasuk jamuan makan, persembahan nyanyian oleh Afad Raihan, agihan duit raya serta penyerahan sumbangan barangan keperluan penghuni seperti 2 unit peti ais, lampin dewasa dan sabun basuh baju hasil sumbangan dan tajaan orang ramai kepada Rumah Seri Kenangan Cheras.

Selain itu, IR Malaysia turut mengagihkan duit raya dan pek makanan panas kepada para penghuni Rumah Seri Kenangan Cheras yang berada di kawasan asrama, yang uzur akibat kekangan fizikal dan kesihatan.

Pengerusi IR Malaysia, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, program seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan organisasi dalam memperkukuh nilai kemanusiaan dan menyebarkan kebaikan kepada golongan yang memerlukan, tanpa mengira latar belakang.

“Aidilfitri adalah waktu untuk kita kembali kepada fitrah, mengukuhkan silaturahim, menyebarkan kasih sayang dan meraikan kebersamaan.

“Melalui Majlis Kasih Syawal ini, kami ingin memastikan para penghuni di sini turut merasai kegembiraan dan kemeriahan Syawal, tanpa merasa dilupakan oleh masyarakat.

“Majlis ini bukan sekadar acara sambutan Aidilfitri, tetapi merupakan tanggungjawab dan keprihatinan kita terhadap komuniti, khususnya golongan warga emas yang merupakan khazanah berharga buat kita,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa sokongan berterusan daripada rakan strategik, ikon kemanusiaan dan rakan media amat penting dalam memastikan usaha-usaha kebajikan dapat diperluaskan kepada lebih ramai golongan yang memerlukan.

“Setiap sokongan yang diberikan, sama ada dalam bentuk sumbangan, kerjasama mahupun hebahan, memainkan peranan besar dalam membantu kami menyampaikan bantuan dan harapan kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Majlis yang diacarakan oleh pempengaruh terkenal, Fendi Mohammad (Foodie Fendi) turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pelawat Rumah Seri Kenangan Cheras, Dato’ Sri Zulkeflee Hazeh, Ahli Lembaga Pemegang Amanah IR Malaysia, Datuk Nur Iskandar A Samad, Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood serta Ikon-ikon Kemanusiaan IR Malaysia, Irma Hasmie, Chef Imelda dan Adi Saujana.

IR Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan majlis ini termasuk para penaja; Mek Buyong Kitchen, Cendol Sawit Melawati, Mat Telawi Trading, DOSZ Coffee, BeliKek.Com, Foodtalks & Bangi Golf Resort, Laksa Redup Rimba, Layannn Titbits serta penaja-penaja individu.

IR Malaysia turut berharap inisiatif seumpama ini dapat terus dilaksanakan dalam menyantuni komuniti yang memerlukan.

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG