Layari laman ini dan buat sumbangan sekarang !
PUTRAJAYA, 12 November 2026 – Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) dengan kerjasama Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Putrajaya dan Kebun Komuniti 1 (KK1) Presint 9, Putrajaya hari ini menganjurkan Program Demo Masakan Sihat dan Pelancaran Tabung Sumbangan Palestin Peringkat PAWE Putrajaya bagi meningkatkan kesedaran tentang amalan gaya hidup sihat serta memupuk semangat keprihatinan masyarakat terhadap golongan yang memerlukan.
Program yang berlangsung di Astaka KK1 Presint 9 itu menghimpunkan kira-kira 70 peserta yang terdiri daripada wakil IR Malaysia, PAWE, Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM), PeladangNita, Persatuan Warga Emas Putrajaya (PerWEP), Kelab Pesara Kerajaan 1 Malaysia (KUPEKMAS) serta komuniti setempat.
Antara pengisian utama program termasuk demonstrasi masakan sihat oleh Chef Imelda Harris, Ikon Kemanusiaan IR Malaysia, perkongsian khas mengenai Palestin oleh Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood, serta pelancaran Tabung Sumbangan Palestin yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IR Malaysia, Datuk Nur Iskandar A. Samad. Program turut dimeriahkan dengan sesi cabutan bertuah dan jualan barangan eksklusif IR Malaysia.
Datuk Nur Iskandar berkata, inisiatif seperti ini merupakan satu platform penting untuk menggalakkan penglibatan masyarakat dalam usaha membantu golongan yang terjejas akibat krisis kemanusiaan, khususnya rakyat Palestin.
“Usaha kemanusiaan bukan hanya terletak pada bahu organisasi bantuan semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan dan keprihatinan seluruh lapisan masyarakat. Setiap sumbangan, walaupun kecil, mempunyai nilai yang besar dalam membantu mereka yang sedang berdepan kesukaran.
“Kami berharap pelancaran tabung ini dapat membuka lebih banyak ruang kepada masyarakat untuk menyumbang dan bersama-sama memainkan peranan dalam meringankan penderitaan rakyat Palestin,” katanya.
Sementara itu, Siti Fadilah berkata, penganjuran program seumpama ini bukan sahaja memberi manfaat dari aspek kesihatan dan kesejahteraan, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk bersama-sama memainkan peranan dalam usaha kemanusiaan.
“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan PAWE Putrajaya dan Kebun Komuniti 1 dalam menjayakan inisiatif yang menggabungkan aspek kesihatan, kesejahteraan komuniti dan nilai kemanusiaan.
“Di Islamic Relief, kami percaya bahawa usaha membantu masyarakat yang terjejas akibat krisis kemanusiaan memerlukan sokongan dan penglibatan pelbagai pihak. Ia merupakan tanggungjawab bersama yang perlu digerakkan secara kolektif.
“Justeru, pelancaran Tabung Sumbangan Palestin pada hari ini merupakan satu langkah bermakna dalam membuka peluang kepada komuniti, termasuk warga emas, untuk turut menyumbang dan menjadi sebahagian daripada usaha membantu rakyat Palestin yang memerlukan bantuan kemanusiaan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi PAWE Putrajaya, Tuan Haji Zainal Abidin Yahya berkata, program ini menggabungkan elemen penuaan sihat, amalan pemakanan seimbang dan nilai kemanusiaan dalam kalangan ahli PAWE serta komuniti setempat melalui pendekatan pendidikan, kesedaran dan penglibatan masyarakat.
“Inisiatif ini bukan sahaja memberi penekanan terhadap kepentingan menjaga kesihatan dan kesejahteraan warga emas, malah turut menyemai semangat keprihatinan, kebersamaan dan tanggungjawab sosial dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Kami berharap program seumpama ini dapat diteruskan bagi menggalakkan penglibatan aktif warga emas dalam aktiviti kemasyarakatan serta memberi peluang kepada mereka untuk terus menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Turut hadir ialah Penasihat PAWE Putrajaya, Datuk Haji Azman bin Abdul Rashid dan Dato’ Haji Zainul Haji Ayob serta Ketua Bahagian Pembangunan Dana IR Malaysia, Zulkepli Mad Yatim.
Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.