Menyedari akan kepentingan wanita yang berperanan sebagai tonggak harapan aspirasi negara, Islamic Relief Malaysia telah mengambil inisiatif untuk turut meraikan kaum hawa sempena Hari Wanita pada 8 Mac yang disambut di peringkat antarabangsa sebagai simbolik penghargaan kepada wanita yang telah memberikan sumbangan yang besar kepada masyarakat dan negara.
Menerusi ruang bicara santai yang diadakan di Charity Shoppe Islamic Relief Malaysia pada 7 Mac yang lalu, dua ikon kemanusiaan Islamic Relief Malaysia, Irma Hasmie dan Dr Aizan Sofia telah berkongsi pengalaman dan pandangan mereka sebagai wanita moden yang berjuang dalam arus globalisasi.
Menurut Irma Hasmie, kehidupan sebagai seorang wanita pada masa kini bukanlah mudah memandangkan wanita juga turut sama menggalas tanggungjawab di rumah dan di pejabat.
Irma Hasmie telah berkongsi pengalamannya dalam menyantuni penerima manfaat di Marawi, Filipina dan Gaziantep, Turki manakala Dr Aizan Sofia menceritakan serba sedikit kisah hidup dan cabaran yang ditempuhinya sebagai seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) yang begitu menjentik hati dan membuka minda penonton.
Ruang bicara santai itu juga telah dihadiri oleh selebriti jemputan, Asmawi Ani (Mawi) sebagai salah seorang panel yang turut sama berkongsi pendapat dan pandangannya mengenai topik ‘Wanita dan Perjuangan’.
“Wanita yang hebat adalah wanita yang mengenali siapa dirinya dan sedar akan tanggungjawabnya di atas muka bumi”, ulas Asmawi Ani.
“Kita semua adalah sama di sisi Allah, yang membezakan kita adalah ketaqwaan kepada-Nya”, kata Dr Aizan Sofia.
Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Tuan Haji Zairulshahfuddin juga sempat menzahirkan kata-kata penghargaan kepada petugas-petugas kemanusiaan wanita di Islamic Relief yang telah berjaya membuktikan perjuangan wanita di dalam pembentukan dan pembangunan masyarakat meskipun harus bergadai nyawa, masa dan tenaga dalam kerja-kerja kemanusiaan yang telah dijalankan sama ada di dalam mahupun luar negara.
Populasi wanita di Malaysia pada tahun 2020 telah mencatatkan jumlah yang tinggi dan mendominasi populasi lelaki iaitu seramai 17.5 juta.