Sambutan Hari Kemanusiaan Sedunia pada tanggal 19 Ogos diambil sempena memperingati kejadian pengeboman ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Hotel Canal di Baghdad, Iraq pada tahun 2003.
Tarikh ini diangkat sebagai tanda ingatan juga penghargaan kepada petugas kemanusiaan dan kumpulan sukarelawan yang sanggup mengorbankan masa, tenaga, wang ringgit serta ada yang terpaksa menggadaikan nyawa demi membantu mereka yang memerlukan di seluruh dunia.
Mereka adalah wira yang tidak didendang. Bukan populariti mahupun kemegahan nama yang dikejar, tetapi sifat altruisme yang kuat di mana prinsip suka mengutamakan kebajikan dan kebahagiaan orang lain menjadi penguat semangat dalam menggalas tanggungjawab ini.
“Medan yang perlu dibantu sangat banyak. Ianya seperti satu lautan yang luas sedangkan usaha kita mungkin hanya sekadar segelas air sahaja. Disebabkan itu, gerak kerja bantuan perlu terus diperkukuhkan dengan mengambil semangat ‘fastabiqul khairat’ agar 850 juta orang di seluruh dunia yang sedang tidur dalam kelaparan ketika ini berjaya dibantu,” kata Zairulshahfuddin Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia.
Menurut laporan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA), seramai lebih 235 juta orang di seluruh dunia memerlukan bantuan kemanusiaan dan perlindungan pada tahun ini.
Sebagai organisasi kemanusiaan antarabangsa, kakitangan dan kumpulan sukarelawan Islamic Relief sentiasa terdedah dengan pelbagai cabaran dan situasi merbahaya sama ada melibatkan bencana alam mahupun konflik peperangan.
Namun, ia sama sekali tidak pernah mematahkan semangat masing-masing untuk terus menyantuni golongan rentan.
“Saya telah berkhidmat bersama Islamic Relief lebih daripada 16 tahun. Dalam tempoh itu, pelbagai situasi kecemasan dan peperangan telah saya lalui di sini. Tiada tempat yang selamat di Gaza. Bedilan bom berlaku di mana-mana. Dalam sekelip mata, kami boleh terpisah antara satu sama lain.
“Kebanyakan serangan berlaku secara tiba-tiba dan sukar dijangka. Boleh jadi hari ini kita menziarahi penerima manfaat dan beramah mesra dengan kanak-kanak di sini, tetapi apabila Gaza diserang dalam satu atau dua hari selepas itu, tempat yang kita kunjungi telah musnah manakala kanak-kanak yang kita temui pada awalnya yang berkongsi cita-cita untuk menjadi orang berguna bila dewasa pula, mungkin sudah tiada atau sedang terlantar di rumah sakit ekoran serangan yang berlaku,” luah salah seorang kakitangan Islamic Relief Palestin di Gaza.
Tahun ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi penekanan mengenai krisis perubahan iklim yang memberi kesan yang sangat cepat terutama kepada golongan rentan di seluruh dunia dan mengajak masyarakat untuk sama-sama menunjukkan solidariti bagi membantu jutaan penduduk yang kehilangan tempat tinggal, diancam kebuluran serta dihimpit pelbagai lagi isu lain menerusi slogan #TheHumanRace yang boleh digunakan dalam ‘posting’ di media sosial masing-masing.
Matlamatnya tidak lain untuk membela nasib mereka yang sangat terjejas ketika ini, serta memastikan tiada seorang pun yang akan ketinggalan atau dipinggirkan.
Meskipun saat ini seluruh dunia masih lagi berperang dengan pandemik COVID-19, namun sifat empati dan keprihatinan masyarakat masih berada di tahap yang tinggi.
Buktinya, Islamic Relief secara global telah membantu lebih daripada 11 juta orang di 43 buah negara melalui perlaksanaan lebih daripada 500 projek kemanusiaan sepanjang tahun 2020.
Bagi Islamic Relief Malaysia pula, seramai 51,404 orang penerima manfaat di dalam negara dan 189,208 penerima manfaat di luar negara berjaya disantuni sepanjang tahun 2020 hasil sumbangan dan sokongan rakyat Malaysia sendiri.
Dijangkakan, jumlah penerima manfaat yang berjaya dibantu bagi tahun 2021 akan meningkat lebih daripada tahun lalu ekoran sambutan menggalakkan yang diterima daripada para penyumbang yang sudi berkongsi rezeki meskipun diri sendiri sedang diuji.
“Setiap agama pastinya menggalakkan kita berbuat kebaikan dan berkasih sayang. Peperangan dan keganasan bukan jalan penyelesaian tepat bagi sesuatu masalah. Saya percaya Tuhan mahukan kita semua hidup secara aman damai tanpa pergaduhan, diskriminasi dan sebagainya.
“Dalam usaha untuk memastikan tiada lagi golongan yang tertindas atau terpinggir, kita perlu sama-sama membantu tanpa mengira kaum, agama atau apa jua bentuk perbezaan. Kita boleh menghulurkan bantuan mengikut kemampuan dan kapasiti masing-masing. Berkongsi mesej positif juga dikira sebagai tanda sokongan kita dalam memperjuangkan isu-isu kemanusiaan,” kata Dr. Soo Wincci, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia.
Tambahnya, walau sekecil mana pun sumbangan yang kita berikan, percayalah ia akan dibalas dengan ketenangan dan nasib yang baik.
Semoga sambutan Hari Kemanusiaan Sedunia tahun ini dapat menyuntik semangat lebih ramai lagi orang untuk turut serta melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan dan menyokong pelaksanaan program bantuan kemanusiaan sama ada di dalam mahupun di luar negara.