TRUSTED SINCE 1984

Warga IRM Raikan Iftar Bersama

Bangi, 1 Jun 2018 – Islamic Relief Malaysia (IRM) berkesempatan untuk meraikan Majlis Iftar #SalamRamadan bersama setiap keluarga IRM dalam memupuk nilai kasih sayang antara satu sama lain.

 

Iftar yang berlangsung turut menjemput barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah serta Ikon Kemanusiaan IRM iaitu Irma Hasmie dan Redza Syah Azmeer bagi memeriahkan majlis tersebut.

 

Prof. Dr. Azni Idris yang merupakan pengerusi bagi Lembaga Pemegang Amanah merafakkan rasa kesyukurannya terhadap warga IRM sejak 13 tahun lalu sehingga kini kerana telah berkorban demi memantapkan pentadbiran dan pengurusan IRM itu sendiri.

 

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang ada kerana masih lagi bersama IRM. Saya berharap organisasi ini akan terus mantap dan dapat terus membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika berucap.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin turut menghargai pengorbanan warga IRM yang telah bertungkus lumus sepanjang perkhidmatan di organisasi ini.

 

“Salah satu strategi IRM adalah untuk mengeratkan ukhuwah sesama kita. Dan melalui majlis iftar ini kita hendak meraikan ahli keluarga yang telah banyak berkorban dan terus berkhidmat dalam IRM,” jelasnya.

Turut berlangsung pada malam itu adalah majlis kenaikan pangkat untuk beberapa warga IRM yang terlibat daripada pelbagai bahagian dan pengharagaan kepada tenaga pengajar Rohingya Intellectual School Excellence (RISE) yang telah berkorban mendidik anak-anak Rohingya di Malaysia.