TRUSTED SINCE 1984

Wanita PBB dan pasukan Islamic Relief

Islamic Relief berganding bahu bersama-sama Wanita PBB, peneraju global kesaksamaan gender, untuk menguatkan kerjasama dalam memperkasakan wanita dalam dunia Muslim.

Pengarah eksekutif Wanita PBB Phumzile Mlambo-Ngcuka dan pegawai eksekutif kanan Islamic Relief Worldwide, Naser Haghamed, secara rasminya telah melancarkan sebuah Memorandum Persefahaman di Emiriah Arab Bersatu pada 19 Oktober.

Perjumpaan dua hala ini telah mencetuskan perkongsian kolaborasi yang utuh serta minat bersama dengan fokus khusus terhadap bidang bantuan kemanusiaan kepada wanita yang dilanda konflik dan komuniti pelarian, menghapuskan keganasan ke atas wanita dan kanak-kanak perempuan serta memulakan dialog yang lebih menyeluruh berkenan hal ehwal hak asasi wanita dan kesaksamaan gender dalam Islam.

Islamic Relief telah melebarkan usahanya dalam bidang keadilan gender, hak dan pembangunan dalam dunia Muslim semenjak beberapa tahun yang lalu – isu yang menjadi semakin sukar dan lebih kritikal untuk ditangani dengan wujudnya cabaran dari rantau Arab.

En. Haghamed berkata: “Jutaan penduduk dari Syria hinggalah ke Burundi telah mengalami kemusnahan hidup yang berpunca dari konflik dan bencana-  dan wanita serta kanak-kanak perempuan pelbagai peringkat umur dan kebolehan adalah kumpulan yang paling terkesan.

“Pendekatan terbaru yang berpandukan Agenda Leave No One Behind dan komitmen terhadap Piawaian Teras Kemanusiaan adalah sangat-sangat diperlukan, menerusi kewujudan usahasama yang aktif dan bermakna di antara INGO dan badan-badan PBB.

“Kerjasama seperti ini menyasarkan tindakan ke atas pencabulan hak asasi manusia, dan mencegah serta mengurangkan impak konflik dan bencana ke atas wanita dan kanak-kanak perempuan.”

Pn. Mlambo-Ngcuka berkata, kerjasama ini akan mendatangkan faedah yang berpengaruh kepada kedua-dua pihak: “Walaupun pengalaman teknikal dan normatif yang dimiliki oleh Wanita PBB akan menjadi sesuatu yang berguna kepada IRW, rangkaian akar umbi yang ekstensif serta dasar dan penyelidikan di dalam pelbagai tema bidang juga akan menjadi aset yang bernilai kepada usaha Wanita PBB di dalam hal ehwal kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita.

Memorandum Persefahaman itu yang telah ditandatangani pada waktu konflik Syria telah mewujudkan krisis pelarian paling teruk yang pernah direkodkan semenjak Perang Dunia Kedua, dengan jutaan keluarga tersingkir di kawasan Negara-Negara Arab dan serata dunia.

Wanita dan kanak-kanak perempuan adalah golongan yang sangat lemah dan mudah terjejas dalam zon-zon konflik dan komuniti pelarian.

Mereka juga terjejas secara tidak seimbang oleh kemiskinan dan krisis kemanusiaan yang berlaku – kedua-duanya merupakan fenomena yang semakin menular pada masa ini.

“Inilah masanya untuk kita bekerjasama rapat, untuk kita berdialog dan untuk kita bersatu-padu dalam menghadapi ancaman kekejaman dan ekstremisme yang menjejaskan keamanan dunia, dan seterusnya mengakibatkan kemiskinan dan penderitaan yang semakin memuncak,” sambung Pn. Mlambo-Ngcuka lagi.

“Keupayaan wanita bukanlah sesuatu yang patut dipandang remeh lagi dalam mewujudkan perkongsian yang boleh melindungi wanita dan melaburkan kebolehan mereka untuk memupuk keamanan dan perubahan dalam komuniti, tambah beliau lagi, sambil menyatakan bahawa rancangan berkaitan akan segera dilaksanakan oleh Wanita PBB dan Islamic Relief untuk mengukuhkan lagi kekuatan mereka dengan perancangan khusus untuk mengintegrasikan perspektif gender ke dalam usaha bantuan mereka dalam menangani krisis pelarian Syria.