“Walaupun saya bukan beragama Islam, tetapi saya rasa bertanggungjawab untuk melakukan kerja kebajikan. Saya sangat berbesar hati kerana dilantik menjadi salah seorang Ikon kemanusiaan Islamic Relief Malaysia.
“Memang ada yang bertanya kepada saya, kenapa seorang yang telah bergelar ‘Miss Universe’ mahu menyertai Islamic Relief Malaysia dan melakukan kerja-kerja kebajikan, jawapan saya mudah. Tuhan sudah memberi pengalaman yang perit kepada saya dan saya dapat belajar macam-macam daripada ujian itu. Pengalaman itu juga telah mendorong saya untuk terlibat dalam kerja kebajikan dan bersama Islamic Relief Malaysia.
“Saya juga mula sedar bahawa selebriti bukan hanya hidup dalam dunia glamor sahaja, tetapi kita perlu lakukan sesuatu yang lebih bermanfaat,” kata Dr Soo Wincci.
Dr Soo Wincci merupakan salah seorang Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia yang sangat komited untuk terlibat dalam kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan.
Meskipun kini beliau berada jauh di Sepanyol bagi melanjutkan pengajiannya, Dr Soo Wincci tetap berusaha meluangkan masa untuk hadir dalam sesi perkongsian yang dijalankan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk terus cakna dan prihatin akan isu kemanusiaan dan kesukarelawanan.
Menurut Dr Soo Wincci, walau dimana pun kita berada, kerja kesukarelawanan tetap boleh dilakukan, dan sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bersatu padu tanpa mengira sebarang bentuk perbezaan kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Berbicara mengenai pandangannya terhadap konflik kemanusiaan yang melanda masyarakat global ketika ini, beliau berkata, setiap agama pastinya menggalakkan kita berbuat kebaikan dan berkasih sayang. Peperangan dan keganasan bukan jalan penyelesaian tepat bagi sesuatu masalah.
Beliau juga percaya Tuhan mahukan kita semua hidup secara aman damai tanpa pergaduhan, diskriminasi dan sebagainya.
“Dalam usaha untuk memastikan tiada lagi golongan yang tertindas atau terpinggir, kita perlu sama-sama membantu tanpa mengira kaum, agama atau apa sahaja bentuk perbezaan. Kita boleh menghulurkan bantuan mengikut kemampuan dan kapasiti masing-masing. Berkongsi mesej positif juga dikira sebagai tanda sokongan kita dalam memperjuangkan isu-isu kemanusiaan,” kata Dr Soo Wincci.
Krisis di Afghanistan semakin memburuk. Penduduk Afghanistan perlu bantuan segera
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan pada Julai lalu, sekurang-kurangnya 12 juta penduduk Afghanistan dilaporkan berdepan ancaman kelaparan pada tahap kritikal manakala 3.5 juta lagi menghampiri risiko kebuluran.
Ramai penduduk Afghanistan kini semakin tertekan dengan situasi semasa di mana bekalan makanan kian berkurangan sedangkan harga makanan melambung tinggi dan kadar pengangguran meningkat.
Dilaporkan, keadaan di kawasan luar bandar lebih buruk ekoran berlaku peningkatan angka kematian dan kes malnutrisi.
Rakyat Afghanistan kini terpaksa menghabiskan wang simpanan yang ada untuk membeli makanan selain berhutang dan mengemis di jalanan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Kami lihat, keadaan orang ramai semakin terdesak sehingga mereka terpaksa meminta sayur-sayuran yang sudah layu dan dan tidak lagi dijual daripada kedai-kedai berhampiran serta memetik bunga-bungaan untuk dijadikan sup.
“Mereka benar-benar berdepan kesukaran untuk menyediakan makanan buat keluarga. Ada yang terpaksa makan sekali sehari dan ada juga yang langsung tidak dapat menjamah apa-apa. Golongan wanita dan kanak-kanak antara yang paling teruk terjejas.
“Kebiasaannya, kaum wanita akan mengutamakan keperluan ahli keluarga yang lain berbanding diri sendiri. Masalah kekurangan atau ketiadaan makanan ini boleh memudaratkan kesihatan ibu dan anak dalam jangka masa panjang.
“Sekiranya kerja-kerja penyaluran bantuan kemanusiaan bagi keperluan mendesak seperti makanan masih lagi tidak dapat dilaksanakan segera berikutan keadaan semasa yang tidak menentu, golongan ibu di Afghanistan bakal diancam penyakit anemia manakala kanak-kanak pula berisiko menghadapi malnutrisi,” kata Mohammed Hamid Sattai.
Sebelum ini, sebahagian besar rakyat Afghanistan sememangnya sudah menderita kelaparan dan kemiskinan akibat kemarau, pergolakan dan pandemik COVID-19. Tahun ini dijangkakan, separuh daripada populasi kanak-kanak berumur bawah lima tahun berisiko diancam penyakit kekurangan zat makanan.
Dengarlah luahan dan rintihan rakyat Afghanistan
“Tanpa bantuan kemanusiaan, penduduk di kem pelarian ini akan terbiar sendirian. Musim sejuk yang menjelang pastinya menyukarkan lagi kehidupan kami yang sudah sedia sukar kerana kami tidak mempunyai akses kepada bekalan makanan yang mencukupi, tempat tinggal, rawatan perubatan, dan juga kayu api untuk menghangatkan badan.
“Kebanyakan penduduk Afghanistan yang melarikan diri ke kem ini hanya datang sehelai sepinggang selepas tersepit dalam kancah peperangan yang berlaku,” kata Ziba, pelarian di kem Arzan Qemat, Kabul.
Menurut laporan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), di Kabul, hampir 50,000 penduduk Afghanistan yang melarikan diri ke kawasan itu ekoran konflik yang melanda baru-baru ini kini terdesak untuk mendapatkan bantuan sebagai persediaan menghadapi musim sejuk.
Suhu di kawasan itu dikatakan boleh mencecah hampir 0 hingga negatif 25 darjah Celcius pada waktu malam ketika pertengahan musim sejuk. Keadaan ini boleh mengakibatkan risiko ancaman hipotermia bagi golongan yang tidur bergelandangan di luar.
“Kami sering berdepan masalah kekurangan bekalan makanan dan terpaksa tidur dengan perut kosong. Saya juga tidak dapat bersekolah kerana terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang bagi membeli makanan dan menyara keluarga.
“Ayah saya lumpuh, ibu pula sudah tua. Adik perempuan saya berumur 14 tahun dan masih belajar di kelas enam. Dahulu, saya mempunyai dua orang abang yang bekerja sebagai tentera, namun mereka telah meninggal dunia kerana terbunuh dalam peperangan sewaktu bertugas.
“Setiap hari, kami terpaksa berjuang untuk mendapatkan makanan bagi meneruskan kehidupan. Apabila tiba musim sejuk, hidup kami menjadi lebih sukar kerana saya tidak dapat bekerja disebabkan hujan dan salji,” luah Sher Agha, remaja berusia 19 tahun yang tinggal di Kabul.
Sebelum pandemik COVID-19 melanda, sekurang-kurangnya 54.5 peratus penduduk di Afghanistan hidup di bawah paras kemiskinan berikutan tersepit dalam konflik kemanusiaan selama empat dekad.
Penduduk negara yang diberi jolokan “the graveyard of the empires” itu kini benar-benar terdesak dan memerlukan bantuan serta sokongan dunia. Setiap hari, kehidupan mereka semakin kritikal sehingga mereka sendiri belum pasti adakah esok masih ada buat mereka dalam lapar dan dinginnya musim sejuk.
“Saya percaya, dalam apa jua agama dan kepercayaan yang kita pegang, semuanya menggalakkan kita untuk melakukan kebaikan kepada semua orang tanpa sebarang diskriminasi. Justeru, saya menyeru anda semua untuk sama-sama kita membantu rakyat Afghanistan mengikut kapasiti dan kemampuan masing-masing.
“Untuk makluman, Islamic Relief Malaysia kini sedang giat menjalankan kempen Rayuan Musim Sejuk bagi membantu 272 keluarga terjejas di Kabul, Kapisa, Balkh, Bamyan, Nangarhar dan Herat, Afghanistan serta 2,940 penerima manfaat daripada 588 buah keluarga di Idlib dan Aleppo, Syria,” kata Dr Soo Wincci.
Kempen Rayuan Musim Sejuk yang dijalankan Islamic Relief Malaysia menyasarkan kutipan dana sebanyak RM300,000 bermula 3 November hingga 31 Disember ini.
Antara bantuan yang akan diberikan ialah bekalan pirina, sejenis bahan bakar diperbuat daripada buah Zaitun, selimut dan pek makanan yang mengandungi tepung gandum, beras, minyak masak, kacang merah dan garam.
Terdapat 2 pakej sumbangan yang ditawarkan menerusi kempen Rayuan Musim Sejuk ini iaitu ‘Stay Warm With Love’ dengan nilai RM150 untuk Syria dan ‘Stay Safe With Love’ bernilai RM250 untuk Afghanistan.
Bagaimanapun, Islamic Relief Malaysia turut mengalu-alukan sokongan bagi yang ingin menyumbang dengan jumlah yang lebih atau kurang daripada pakej sedia ada mengikut kemampuan masing-masing.
“Kita perlukan sokongan semua pihak. Jika kita bersendirian, sukar untuk kita mencapai matlamat bagi membantu ramai orang. Semoga kita sama-sama dapat membantu sedaya upaya kita meskipun sekadar memberi kata-kata semangat, kerana ia mampu memberi makna besar buat seseorang,” kata Dr Soo Wincci.