“Kehidupan sebagai pelarian sangat mencabar, lebih-lebih lagi bagi orang kelainan upaya (OKU) seperti saya. Kaki saya tidak sempurna, sukar untuk saya berjalan. Jadi, sewaktu insiden perbalahan di Tigray, Ethiopia mula merebak ke kampung kami, suami saya terpaksa memapah saya sepanjang perjalanan kami melarikan diri menuju ke kem pelarian Um Rakuba di Sudan. Ia satu perjalanan yang panjang dan sungguh memenatkan,” kata Mulu.
Tahukah anda, lebih 79.5 juta orang terpaksa meninggalkan rumah mereka disebabkan banyak faktor antaranya konflik peperangan, penganiayaan dan dihalau secara paksa.
26 juta daripada angka itu merupakan golongan pelarian yang sebahagiannya berumur di bawah 18 tahun.
Angka ini, semakin meningkat setiap hari hingga dilaporkan setiap 4 saat, satu orang akan hilang tempat tinggal menjadikan 16 orang hidup bergelandangan setiap seminit.
Dalam kejadian yang berlaku pada November 2020 itu, Mulu antara penduduk yang terkesan dan mengalami igauan ngeri daripada insiden yang tidak dijangka itu.
“Saya nampak bom meletup dan kemudian mayat manusia bergelimpangan di seluruh kawasan termasuk mayat rakan suami. Saya rasa sangat takut.
“Ketika peperangan tercetus dan berlaku letupan bom, saya lihat orang ramai berlari tanpa arah tujuan. Keadaan menjadi kacau bilau.
“Kejadian itu meragut nyawa ayah saya manakala ahli keluarga yang lain hilang tanpa khabar berita. Saya selalu memikirkan nasib keluarga yang terpisah. Hidup atau mati, saya pun tidak tahu. Insiden yang berlaku sangat mengerikan. Saya harap saya tidak akan melihat dan melalui saat sukar itu lagi.
“Kini, kem pelarian inilah rumah kami. Di sini ada lebih 20,000 pelarian Ethiopia yang datang untuk berlindung. Kami tidak mempunyai anak. Kami telah mengambil seorang anak angkat berumur 16 tahun untuk dijaga kerana kami kasihan melihat anak ini yang hidup sebatang kara. Dia terpisah daripada ahli keluarganya dalam insiden peperangan sewaktu melarikan diri ke sini.
“Alhamdulillah, kami rasa sangat bersyukur di atas bantuan makanan, air dan sanitasi juga kit kebersihan yang diedarkan oleh Islamic Relief serta agensi kemanusiaan lain. Islamic Relief telah mengedarkan bantuan secara terus ke khemah kami memandangkan saya tidak boleh berjalan jauh dan berdiri lama untuk beratur mengambil bantuan. Terima kasih Islamic Relief kerana prihatin akan nasib golongan pelarian terutamanya OKU seperti saya,” kata Mulu.
Pengarah Negara Islamic Relief Sudan, Elsadig Elnour berkata, Islamic Relief sentiasa peka dalam membantu golongan OKU, warga emas dan wanita hamil. Inisiatif penghantaran bantuan secara terus ke khemah, dapat melindungi mereka dari insiden ditolak atau berebut-rebut juga menjadi pencegah kepada penularan wabak covid-19.
Bantuan kemanusiaan yang disalurkan Islamic Relief tidak hanya tertumpu di kem pelarian Um Rakuba, Al-Tunaydbhah dan Hamdayet, Sudan. Ia turut disalurkan kepada penduduk terjejas di Tigray, Ethiopia.
Antara bantuan lain yang diberikan adalah pendidikan, plastik penebat haba, kelambu, bekas untuk mengangkut air, sabun, ubat gigi, pelitup muka dan lampu dengan sistem solar untuk melidungi penghuni kem di waktu malam.
Setakat ini, Islamic Relief telah berjaya menyantuni kira-kira 30,000 pelarian dari ketiga-tiga kem. Lebih 60 tandas dan 30 tempat untuk mencuci di kem Um Rakuba dan Al-Tunaydbhah juga telah dibina.
Terbaharu, Islamic Relief sedang merangka untuk membina bilik darjah dan kemudahan pembelajaran peringkat menengah dengan tajaan Education Cannot Wait (ECW).