Terap Nilai Kemanusiaan Anak Muda

Klang, 25 Jul – Islamic Relief Malaysia (IRM) mengambil inisiatif baharu untuk menerapkan nilai kemanusiaan dalam diri anak muda bagi membentuk generasi yang positif pada masa hadapan.

 

Program ‘We Are Awesome Heroes’ yang melibatkan seramai 62 pelajar dari Sekolah Antabarangsa Idrissi itu dilihat sebagai batu loncatan untuk menerapkan ilmu-ilmu berkaitan kemanusiaan yang berlaku di seluruh dunia.

 

Selain mendedahkan isu-isu kemanusiaan di seluruh negara, para pelajar juga diberi peluang untuk berkongsi buah fikiran tentang negara bergolak hasil daripada aktiviti berkumpulan yang dijalankan.

 

Keterlibatan pelajar dalam program tersebut juga melatih mereka bersedia dan lebih bersemangat untuk terlibat sama dalam usaha menyebarkan kesedaran tentang isu-isu kemanusiaan yang berkaitan.

 

Menerusi inisiatif ini, IRM juga bercadang untuk memperkasakan minat para pelajar untuk mencebur diri dalam program kesukarelawanan yang dianjurkan oleh mana-mana badan bukan kerajaan agar mereka lebih aktif.