SUDAN, 3 Ogos 2021 – Lebih 150 buah rumah mengalami kerosakan akibat banjir kilat yang melanda kawasan Al Fao, Gedaref di Sudan sejak 21 Julai lalu.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Kawasan sumber air utama dan stesen janakuasa elektrik di Al Fao juga dikatakan sudah ditenggelami air.
Keadaaan lebih 70,000 penduduk setempat yang sememangnya sedang berdepan masalah kekurangan bekalan makanan menjadi lebih sukar dan kritikal.
Banjir kilat yang berlaku turut menjejaskan 48,000 penduduk di White Nile yang juga mengalami masalah kekurangan bekalan makanan yang sangat teruk.
Islamic Relief Sudan kini sedang merangka pelan tindakan untuk membantu penduduk terjejas dalam masa yang terdekat meliputi pelbagai kawasan di negara itu.