NEW DELHI, 21 Mei 2020 – Dua belas orang maut di Benggala Barat, India manakala sembilan orang lagi maut di Bangladesh ekoran bencana siklon Amphan yang melanda kawasan itu.
Menurut Need Assesment Working Group (NAWG) di Bangladesh, kira-kira 7.9 juta orang di negara itu sedang terdedah kepada ancaman bencana ini merangkumi Orang Kurang Upaya (OKU), kanak-kanak berumur empat tahun dan ke bawah, warga emas dan wanita mengandung.
Taufan ini bukan sahaja meragut nyawa malahan turut merosakkan tanaman, rumah, tiang elektrik dan stesen pengangkutan awam.
Selain itu, jalan raya dan kediaman orang awam juga dilaporkan dipenuhi dengan lumpur.
Apa yang menyedihkan lagi, proses gerak kerja bantuan kecemasan berdepan kesukaran ekoran perintah kawalan pergerakan Covid-19.
Kawasan pemindahan untuk menempatkan penduduk terjejas juga tidak dapat digunakan sepenuhnya ekoran sekatan ini.
Antara keperluan mendesak yang diperlukan ketika ini ialah makanan, air bersih, kit kebersihan, tempat perlindungan, rawatan kecemasan dan ubat-ubatan, air, sanitasi dan kebersihan yang khusus untuk penjagaan sewaktu Covid-19 serta bantuan sokongan psikososial.
Islamic Relief Bangladesh kini berada di Satkhira, salah satu daerah yang paling teruk terjejas dan telah menggerakkan 50 sukarelawan untuk membantu kerja-kerja pemindahan penduduk ke kawasan yang lebih selamat.
Islamic Relief India pula kini sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan serta rangkaian NGO lain sebagai persediaan untuk mengahdapi sebarang kemungkinan lain.