KUALA LUMPUR, 31 Mei 2022 – Sebanyak 200 keluarga dalam kategori B40 di Flat Sri Kota dan Rumah Panjang Jalan Ikan Emas, Kuala Lumpur telah menerima bantuan barangan keperluan asas daripada Shopee menerusi projek Ramadan dan Raya Bersama #ShopeeGivesBack.
Inisiatif ini merupakan tanggungjawab sosial korporat daripada Shopee bersama ‘Shopee Supermarket’ bagi membantu meringankan beban golongan rentan selain ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk membeli-belah sambil beramal di platform jualan atas talian tersebut.
“Islamic Relief Malaysia sangat berbesar hati kerana terpilih sebagai salah satu rakan kerjasama juga NGO pelaksana untuk menjayakan program CSR Shopee ini. Kempen #ShopeeGivesBack mula dijalankan pada April lalu dengan menggunakan pendekatan jualan pakej-pakej barangan keperluan asas di platform Shopee.
“Antara pakej barangan yang ditawarkan oleh Shopee, dan yang telah berjaya kami edarkan kepada penerima manfaat hari ini ialah bijirin oat dan kepingan jagung, susu, biskut, mee segera, tisu, tuala wanita, pencuci pinggan dan pakaian serta banyak lagi,” kata Ahmad Nazmee Adnan, Pegawai Bahagian Penjanaan Dana, Islamic Relief Malaysia.
Rata-rata penerima manfaat yang ditemui sewaktu aktiviti edaran menzahirkan rasa syukur dan terima kasih tidak terhingga atas sumbangan yang diberikan.
“Sekarang, bila beli barang dapur memang terasa sangat barang dah mahal, barang keperluan asas dah naik harga. Apa yang boleh dibuat hanyalah kita perlu menguruskan kewangan sendiri dengan baik dan perlu berjimat-cermat kerana walaupun susah tapi hidup perlu diteruskan,” kata Rahmah Yusof, penerima manfaat di Rumah Panjang Jalan Ikan Emas.
Dalam keadaan masyarakat dihantui dengan isu kenaikan harga barang, diharapkan usaha murni Shopee dan Islamic Relief Malaysia ini dapat membantu mengurangkan tekanan dan bebanan yang ditanggung.
“Saya bukan penerima bantuan, tapi saya datang sebagai wakil penduduk untuk membantu sesi edaran bantuan hari ini. Apa yang saya lihat, program ini bagus kerana penduduk bukan Islam juga dapat bantuan yang sama. Anda semua sudah menunjukkan semangat sebagai warganegara Malaysia yang datang dari pelbagai kaum. Rakan-rakan saya dari bangsa Cina tadi semua rasa gembira kerana turut sama dapat bantuan,” kata Wong Miew Yin, penduduk Flat Sri Kota.