Share the Joy Kongsi Kegembiraan Dengan 70 Penerima Manfaat

Kelana Jaya, 23 Feb 2019 – 70 penerima manfaat di pusat jagaan Lovely Nursing Centre, Kelana Jaya, Selangor disantuni Islamic Relief Malaysia (IRM) menerusi program Share the Joy.

 

Program yang menjadi acara tahunan IRM itu mengumpulkan kesemua penerima manfaat daripada pelbagai latar belakang untuk merasai kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina.

 

Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata program Share the Joy diadakan setiap tahun selaras dengan misi kemanusiaan IRM itu sendiri yang menyantuni penerima manfaat tanpa mengenal bangsa, agama, dan umur.

 

“Sambutan Tahun Baharu Cina ini adalah program tahunan kami yang sebenarnya kita tunaikan atas dasar misi kemanusiaan tanpa melihat warna kulit, kepercayaan, umur dan juga jantina.

 

“Ia juga bertujuan untuk membina hubungan yang lebih rapat antara komuniti bangsa Cina dengan kakitangan IRM termasuklah para sukarelawan kami dalam mewujudkan suasana harmoni memandangkan Malaysia adalah negara majmuk yang merangkumi pelbagai kaum.

 

“Kami juga ingin memastikan bahawa amanah dan tanggungjawab yang digalas dapat disalurkan kepada penerima manfaat yang kurang bernasib baik agar mereka terus disantuni dan mendapat perhatian masyarakat sekeliling,” jelas Zairulshahfuddin mengenai program Share the Joy.

 

Ia melibatkan ibu tunggal, anak yatim, warga emas, pesakit kritikal, Orang Kurang Upaya (OKU), dan penerima manfaat lain yang tinggal di pusat jagaan itu. Penghuni rumah tersebut meliputi pelbagai bangsa iaitu Cina, India, dan Melayu berumur lingkungan 23 sehingga 94 tahun.

 

Sepanjang program Share the Joy berlangsung, ia turut diserikan dengan kemeriahan aktiviti-aktiviti menarik termasuklah manicure, gunting rambut bagi lelaki, origami, boling, hiasan kek muffin, tulisan kaligrafi Cina, dan aktiviti kecantikan.

 

Ikon Kemanusiaan IRM, Irma Hasmie dan Kumpulan Saujana turut hadir bagi memeriahkan program tersebut sekaligus menyemarakkan lagi semangat kemanusiaan untuk terus menyantuni penerima manfaat.