TRUSTED SINCE 1984

Satu Kebaikan, Seribu Harapan

Secebis kebaikan yang ditabur mampu membawa kepada sejuta makna dalam dunia seseorang. Kita seringkali mendengar bahawa dalam setiap rezeki kurniaan Allah SWT sebenarnya tersimpan rezeki manusia lain yang perlu dikongsi bersama. Hal ini jelas diceritakan dalam Al-Quran, Surah As-Saba’ ayat 39:

قُلْ إِنَّ رَبِّي يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَيَقْدِرُ لَهُ ۚ وَمَا أَنْفَقْتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ ۖ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki”. (As-Saba’: 39)

 

Itulah nikmatnya bersedekah. Ia mampu mengubah nasib seseorang dan sebagai seorang Muslim, kita dinasihatkan untuk membantu golongan yang memerlukan. Sebagai organisasi kemanusiaan antarabangsa, Islamic Relief Malaysia (IRM) percaya bahawa setiap amalan dan kebaikan yang pernah dilakukan mampu mengubah kehidupan seseorang.

 

IRM yang bergiat aktif dalam aktiviti kemanusiaan bukan sahaja menghulur bantuan kepada masyarakat setempat, malah berjaya meningkatkan taraf hidup individu terutamanya kanak-kanak di luar negara melalui inisiatif dana umum anak yatim. Sonia, salah seorang penerima manfaat yang berasal dari Yaman kini menunjukkan prestasi dan taraf kehidupan yang begitu memuaskan.

 

Kehidupan Sonia tidak sama seperti kanak-kanak lain yang membesar dengan pelbagai kesenangan. Bapanya meninggal dunia sekitar satu dekad yang lalu tanpa sebarang peninggalan harta dan sumber makanan yang mencukupi. Kini, ibunyalah yang menjadi pelindung dalam keluarga.

 

Sonia tinggal di sebuah rumah sewa yang dibina dengan batu-bata namun keadaan rumah tersebut tidak semewah dan selesa seperti rumah-rumah lain. Dalam pada itu, ketiadaan bekalan air dan elektrik juga menjadi punca permasalahan kepada keluarga ini. Apatah lagi perjalanan ke hospital yang memakan masa kira-kira satu jam.

 

Perwatakannya yang pemalu bukanlah bermaksud Sonia tidak mempunyai cita-cita yang tinggi. Dia berhasrat untuk menjadi seorang pendidik pada masa akan datang demi mengubah masa depan kanak-kanak lain. Sebagai anak kecil, Sonia lebih gemar untuk berada di sekolah kerana cintanya terhadap ilmu dan dia juga merupakan seorang pelajar cemerlang di sekolahnya. Siapa juga sangka anak perempuan ini sebenarnya mempunyai minat yang mendalam terhadap pengajian Islam dan turut mendapat kelas tambahan bagi menambah lagi ilmu agamanya.

 

Laporan tahunan IRM menunjukkan Sonia terpaksa menunggu selama lapan bulan untuk kembali ke sekolah akibat peperangan yang melanda di kawasannya. Peristiwa itu sekaligus menyebabkan keluarganya takut dengan serangan udara dan bunyi kapal terbang di udara.

 

Bantuan IRM kepada Sonia sedikit sebanyak membantu meringankan bebanan yang ditanggung ibunya untuk memberi pendidikan kepada anak-anaknya memandangkan ibunya mengalami risa lendir dalam organ dalamannya. Selain daripada menampung kos pendidikan Sonia, bantuan berkenaan juga turut menampung keperluan rumah bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka. Secara tidak langsung, dana umum anak yatim telah membantu keluarga Sonia dalam pelbagai aspek kehidupan.