Sambutan Hari Wanita Sedunia diraikan pada setiap 8 Mac bagi menghargai dan meraikan kejayaan wanita di seluruh dunia.
Islamic Relief tidak terkecuali meraikan hari istimewa ini memandangkan para penerima manfaat yang dibantu juga terdiri daripada kalangan wanita, ibu dan kanak-kanak perempuan yang hebat dan cekal dalam mendepani setiap cabaran kehidupan.
Tahun ini, Islamic Relief ingin berkongsi kisah salah seorang penerima manfaat kami di Bangladesh yang sangat memberikan inspirasi. Wanita hebat ini adalah Rujina Akhter.
Rujina seorang wanita berstatus orang kurang upaya (OKU). Kekurangan yang ada menyebabkan Rujina takut untuk keluar dari rumah dan berhadapan dengan masyarakat kerana bimbang dia akan menjadi bahan ejekan.
Namun, hari ini Rujina telah berjaya mengatasi ketakutannya. Dia telah berjaya menjadi ketua komuniti di tempat tinggalnya dan dia juga banyak menyumbang dalam kerja-kerja memperjuangkan kesaksamaan hak bagi kaum wanita di Bangladesh.
Permulaan Langkah Yang Sukar
Rujina berasal dari sebuah perkampungan kecil yang terletak jauh di pedalaman Bangladesh. Ketika berusia dua tahun, Rujina mengalami demam panas dan kehilangan deria rasa di kedua-dua belah kakinya. Akhirnya, dia disahkan menghidap penyakit polio.
Sejak itu, bermulah episod sukar dalam hidup Rujina.
“Kebanyakan golongan orang kurang upaya yang ada dalam masyarakat kami, terpaksa berdepan dengan realiti disisihkan oleh keluarga dan masyarakat. Rakan-rakan saya di sekolah sering mengejek dan mempersendakan keadaan fizikal saya, tetapi saya beruntung kerana mempunyai ibu bapa dan guru yang selalu melindungi saya,” kata Rujina.
Berbekalkan sokongan daripada ibu, bapa dan guru Rujina serta kesungguhan dirinya untuk belajar, Rujina berjaya merangkul anugerah akademik di atas pencapaian paling cemerlang di sekolah.
Bagaimanapun, apabila dia mula belajar di kolej, keadaan menjadi bertambah sukar, dan Rujina terpaksa menamatkan pembelajarannya.
“Waktu itu adalah fasa yang sangat sukar buat saya. Saya tidak mahu keluar dari rumah kerana takut untuk berhadapan dengan orang-orang yang mentertawakan keadaan saya. Akhirnya, saya mengalami kemurungan,” kata Rujina.
Tekad Ubah Kehidupan
Walaupun berdepan cabaran dan ujian besar dalam hidup, Rujina tetap tekad berusaha membina masa depan yang lebih baik.
Selaku NGO prihatin yang mempunyai salah satu misi untuk membantu golongan terpinggir dalam menyuarakan keperluan mereka bagi mengenalpasti punca dan mengatasi kemiskinan yang menghimpit mereka, Islamic Relief telah menyediakan peluang pekerjaan kepada kaum wanita serta memperkasa dan membangunkan ekonomi kaum wanita di kawasan tempat tinggal Rujina.
Rujina mengambil peluang keemasan tersebut sebagai titik mula untuk dia membina masa depan yang lebih cerah. Permohonan Rujina untuk menjadi motivator di kampungnya berjaya. Setelah itu, Rujina dibekalkan dengan latihan kepimpinan yang disediakan oleh Islamic Relief bagi membolehkan dia melaksanakan tugas sebagai motivator dengan baik.
Berbekalkan keyakinan dan kemahiran baru yang dipelajarinya, Rujina telah menerima anugerah berprestij yang dinamakan ‘Anugerah Joyeta’ daripada kerajaan Bangladesh di atas sumbangan besar Rujina terhadap sektor pendidikan dan pemerkasaan kaum wanita di negara itu.
“Anugerah ini adalah pencapaian terbesar dalam hidup saya. Islamic Relief telah mengajar saya bahawa status OKU bukan penghalang untuk seseorang mencapai impian mereka. Jika kita mempunyai keazaman yang tinggi, ikhlas dan rajin, kita pasti boleh mencapai matlamat yang kita sasarkan. Inilah kunci kejayaan yang saya miliki hingga dapat membanggakan ibu bapa saya,” kata Rujina.
Islamic Relief terus menyokong usaha Rujina dengan memberi tugasan kepadanya sebagai penggerak masyarakat yang berperanan dalam mengendalikan enam kumpulan sokongan bagi komuniti wanita setempat serta menjalankan program kesedaran mengenai hak-hak wanita khususnya isu berkaitan keganasan terhadap wanita juga perkahwinan paksa di awal usia.
Rujina turut melanjutkan pelajarannya yang pernah terhenti suatu ketika dahulu dan kini dia telah memiliki ijazah pascasiswazah.
“Saya sangat gembira melihat kejayaan anak saya, meskipun dia mempunyai kekurangan dari sudut fizikal. Dia sangat tekad untuk berjaya dan saya lihat tiada apa yang boleh menghalangnya. Sebagai bapa, saya sangat bangga dengan pencapaian Rujina,” kata bapa Rujina.
“Wanita berdepan banyak cabaran dalam masyarakat kami, dan status OKU menyukarkan lagi keadaan mereka. Ibu bapa saya telah membuka jalan dan saya akan terus mengejar impian saya untuk menjadi seorang guru yang berkelayakan bagi mengajar generasi muda dan wanita untuk berdikari serta menjadi pemimpin,” kata Rujina.
Rujina merupakan salah seorang daripada jutaan wanita di seluruh dunia yang telah berjaya mengubah hidup mereka menjadi lebih baik menerusi projek pemerkasaan golongan wanita oleh Islamic Relief.
70 peratus daripada penduduk miskin di dunia yang telah berjaya mencapai kejayaan mengagumkan terdiri daripada golongan wanita, dan kami di Islamic Relief berperanan membantu mereka untuk keluar daripada kemiskinan serta menyokong mereka dalam menghasilkan mata pencarian berpanjangan juga berdikari dalam menjana pendapatan.
Teruskan menyokong Islamic Relief melaksanakan tugasan penting ini untuk membantu golongan wanita membina kehidupan mampan serta memastikan mereka menjalani kehidupan yang lebih baik. Sumbang sekarang!
Semoga sambutan Hari Wanita Sedunia tahun ini yang mengangkat tema “Gender Equality Today for A Sustainable Tomorrow” dapat meningkatkan kesedaran serta kefahaman seluruh lapisan masyarakat untuk memperkasakan golongan wanita dan memastikan potensi wanita dapat diupaya dan dioptimumkan.