TRUSTED SINCE 1984

Rohingya Integrated School of Excellence (RISE) bakal lahirkan pelajar Rohingya berkualiti tinggi.

Kajang, 15 Feb. 2017 – Islamic Relief Malaysia (IRM) hari ini melancarkan Pusat Bimbingan Alternatif buat masyarakat Rohingya bertempat di Taman Kajang Utama, Kajang, Selangor.

Pusat tersebut yang dikenali sebagai Rohingya Integrated School of Excellence (RISE) merupakan sekolah pertama ditubuhkan di bawah IRM dan dipantau sepenuhnya oleh IRM sendiri.

Tujuan penubuhan sekolah tersebut adalah untuk memberikan perkhidmatan pendidikan secara percuma kepada warga minoriti Rohingya yang berada di sekitar kawasan Selangor.

Majlis disempurnakan oleh Tan Sri Dr. Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar, Presiden HUMANiTi Malaysia yang juga Duta Khas OIC ke Myanmar.

Turut hadir di dalam majlis itu ialah Tn. Hj. Zairulshahfuddin Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zaid Al-Rawni, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Canada serta kakitangan IRM.

Zairulshahfuddin dalam ucapannya berkata, “Pendidikan adalah hak milik setiap insan. Masa depan anak-anak Rohingya ini bergantung kepada bagaimana kita mencorak mereka hari ini. Kerana itu, IRM bersungguh-sungguh untuk merealisasikan sekolah impian ini agar anak-anak masyarakat Rohingya yang berada di sekitar Selangor khususnya tidak tercicir daripada persediaan asas untuk masa depan mereka.”

 

Mengenai Rohingya Integrated School of Excellence (RISE)

Menurut Zairulshahfuddin lagi, sekolah tersebut akan beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.

Enam mata pelajaran telah dikenalpasti dan akan diberi penekanan iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Myanmar, Matematik, Sains serta Pendidikan Islam.

IRM juga menyediakan kelas-kelas kemahiran seperti memasak, menjahit dan komputer. Para guru terdiri daripada guru terlatih lulusan universiti tempatan dan juga guru dari etnik Rohingya sendiri.

Selain itu, bagi memastikan anak-anak Rohingya ini terus menimba ilmu, satu program khas (HOPE) bakal dilaksanakan pada setiap hujung minggu di mana guru-guru, sukarelawan dan tenaga pengajar RISE akan turun ke komuniti dan membuat outreach education kepada mereka.

“Peranan IRM terhadap sekolah ini sangat besar memandangkan ia dikelolakan sepenuhnya oleh IRM. IRM menyediakan bantuan kelengkapan sekolah, peralatan pembelajaran, gaji guru serta sewa sekolah,” katanya lagi.

 

Mengapa IRM bantu masyarakat Rohingya

Menurut United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR), terdapat sekurang-kurangya 150,000 pelarian Rohingya di Malaysia di mana hanya 54,856 orang sahaja yang berjaya didaftarkan di bawah UNHCR.

Di negara mereka, masyarakat Rohingya tidak dibenarkan untuk memiliki tanah atau rumah dan mereka juga tidak dibenarkan untuk mendapat pendidikan asas sehingga menyebabkan 85% hingga 90% masyarakat Rohingya buta huruf.

Lantaran itu, mereka tidak boleh membaca dan menulis walaupun di dalam bahasa ibunda sendiri, dan ini menyebabkan mereka sukar untuk mendapat pekerjaan bagi meneruskan kehidupan.

IRM mengambil inisiatif untuk membantu masyarakat Rohingya di kawasan Bandar Baru Bangi, Kajang, Serdang dan Balakong dengan penyediakan Pusat Bimbingan Alternatif ini dengan mengetengahkan pembelajaran akademik kepada kanak-kanak Rohingya.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.islamic-relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434.