SOMALILAND, 14 April 2022 – Lebih 28 orang dilaporkan cedera manakala ratusan kedai di pasar utama di ibu negara Somaliland musnah dalam insiden kebakaran besar pada 1 April lalu.
Kebakaran itu dikatakan bermula di pasar Waheen di Hargeisa pada Jumaat malam dan berterusan hingga keesokan harinya berikutan kekangan yang dihadapi pasukan bomba untuk mengakses jalan ke pasar yang agak padat.
Punca kebakaran masih tidak diketahui dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Selain kehilangan harta benda, ribuan penduduk setempat juga hilang mata pencarian mereka.
Insiden ini telah menyebabkan kerugian yang besar kerana 40 ke 50 peratus sumber ekonomi di bandar itu bergantung kepada hasil perniagaan di tempat kejadian.
Dianggarkan kos kerosakan bangunan, aset perniagaan dan barangan lain dikatakan boleh mencecah berbilion dolar USD. Sementara itu, Presiden Somaliland, Muse Bihi Abdi mengumumkan kerajaannya akan memperuntukkan 1 juta dollar untuk membantu penduduk terjejas.
Islamic Relief Somalia kini sedang menjalankan penilaian bagi mengenalpasti bentuk bantuan sesuai yang boleh disalurkan seperti pemberian geran kewangan mikro kepada para peniaga yang menyewa kedai di pasar dan juga membantu pihak berkuasa tempatan untuk membangunkan semula pusat perniagaan itu.