Rayuan Musim Sejuk 2023/2024

ISLAMIC RELIEF MALAYSIA
Keep Them Warm & Alive

Rayuan Musim Sejuk

TANPA kelengkapan yang cukup, cuaca sejuk melampau boleh mengancam nyawa mereka yang tidak berkemampuan.

Tahun ini, Islamic Relief Malaysia meneruskan lagi kempen Rayuan Musim Sejuk, bagi membantu penduduk terjejas khususnya di Taiz, Yaman, Semenanjung dan Utara Gaza, Khan Younis serta Rafah, Palestin dengan sasaran pengumpulan dana sebanyak RM100,000 bermula 1 Januari hingga  29 Februari 2024.

Antara bentuk bantuan yang akan diberikan ialah selimut, tilam, baucar tunai, bantuan baikpulih rumah, makanan panas, pek makanan, bahan bakar, kit kebersihan dan pakaian musim sejuk.

Kriteria penerima bantuan pula merangkumi ibu tunggal, anak yatim, warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik, golongan berpendapatan rendah, pelarian dalam negara (IDPs), ibu mengandung dan menyusu, isi rumah yang tiada pendapatan dan mempunyai bilangan tanggungan yang ramai.

Cuaca sejuk melampau boleh memberi kesan besar kepada kesihatan meliputi gejala kulit menjadi kering dan mengelupas, hipotermia, ‘frostbite’ atau melecur, serangan jantung dan banyak lagi.

Yaman, sedekad dalam konflik

Yaman merupakah salah sebuah negara termiskin di dunia.

Lebih 21 juta penduduknya bergantung harap dengan bantuan kemanusiaan untuk meneruskan kehidupan, termasuk 11 juta kanak-kanak. Konflik yang berlarutan bertahun-tahun ini mengakibatkan ancaman kebuluran dan menjadikan ekonomi negara itu semakin memburuk.

“Kami sekeluarga terpaksa berpindah dan tinggal di kem pelarian Al Gufainah di Marib ini kerana peperangan yang berterusan. Saya hanya bekerja sambilan sebagai buruh kasar. Upah yang saya perolehi, tidak cukup untuk menampung keperluan kami sepenuhnya.

“Hidup kami sangat menderita ketika musim sejuk. Kami tidak mempunyai selimut dan tilam untuk menghangatkan diri di dalam khemah,” kata Ahmed Saleh Ahmed Mudafar.

Makanan pun tiada, apatah lagi kelengkapan musim sejuk

“Tahun ini, umur saya sudah 70 tahun. Di usia begini saya sudah tidak mampu untuk bekerja bagi menyara 8 orang cucu saya yang berstatus anak yatim.

“Kehidupan kami sangat sukar. Kami hanya mengalas perut dengan sebuku roti yang dikongsi 9 orang atau hanya makan sayur-sayuran.

“Setiap kali melihat cucu-cucu saya terpaksa tidur dengan perut yang kosong, kerana tiada langsung makanan untuk dijamah, saya rasa sangat sedih. Saya kasihan melihat mereka, tapi tiada apa yang mampu dilakukan. Beginilah kehidupan kebanyakan penduduk di Yaman saat ini,” kata Taqeeah Ali Mohammed.

Islamic Relief mula menyantuni penduduk Yaman sejak 1998. Pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan sama ada menerusi sektor kecemasan juga kehidupan mampan.

Setiap bulan, Islamic Relief telah mengagihkan bantuan bagi meringankan beban lebih 2.5 juta penduduk setempat.

Gaza, Palestin: Penjara terbesar di dunia

Angka korban di Gaza terus meningkat melebihi 20,000 termasuk kanak-kanak.

Lebih dua pertiga dari jumlah itu, terkorban bersama ahli keluarga mereka di dalam rumah ketika serangan dilancarkan.

Dianggarkan, lebih 1.4 juta penduduk Gaza terpaksa melarikan diri sejak serangan tercetus pada 7 Oktober lalu.

Penduduk di Gaza, Palestin sangat memerlukan bantuan dan sokongan daripada masyarakat dunia seluruhnya. Tahap kemusnahan yang berlaku di Gaza sangat dahsyat.

“Saya sangat risau memikirkan kehidupan anak-anak saya. Apa akan terjadi kepada mereka jika saya terkorban dan mereka terselamat? Siapa yang akan menjaga mereka? Saya juga terfikir, jika saya dan isteri terkorban, adakah anak-anak kami dapat mengecam mayat kami, meski kami memakai cincin perkahwinan yang terukir nama kami suami isteri. – Luahan penduduk Gaza.

Penduduk Gaza, SANGAT memerlukan bantuan SEGERA ketika ini, dan lebih-lebih lagi di saat musim sejuk bakal menjelang tidak lama lagi

“Keadaan di Selatan Gaza sangat padat. Ratusan ribu orang telah berpindah ke sini. Kami sudah tidak tahu di mana kami nak cari sumber bantuan dan keperluan seperti air dan makanan.

“Kami juga terpaksa beratur panjang dalam tempoh yang lama, semata-mata untuk mendapatkan roti bagi mengalas perut. Harga barangan pula melambung tinggi, dan bekalan juga semakin kehabisan. Entah bagaimana nasib hidup kami nanti,” – Luahan penduduk Gaza

Kita semua adalah talian hayat yang boleh membantu saudara kita yang sedang diuji di luar sana.

Bersama kita bantu mengikut kemampuan masing-masing.

Dengan satu sumbangan, kita mampu menyelamatkan nyawa mereka.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on email