Jutaan kanak-kanak di seluruh dunia menghadapi kesukaran harian, sama ada menerusi kepapaan, peperangan, kemarau, atau penyakit, dan akhirnya menjadi anak yatim.
Bagi kebanyakan anak yatim yang tinggal bersama ibu atau bapa tunggal, dengan penjaga atau sendirian, ancaman kemiskinan adalah suatu perkara yang biasa. Skim tajaan anak yatim Islamic Relief adalah talian hayat bagi kanak-kanak kurang bernasib baik ini, yang membekalkan para penjaga mereka dengan keupayaan untuk berbelanja untuk keperluan asas mereka, termasuklah makanan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Ismail* yang berusia lapan tahun dari Afrika Selatan adalah anak yatim ke 50,000 yang kini ditaja menerusi skim Islamic Relief ini.
Ismail sedang bermain bola sepak di padang berhampiran rumahnya.
Di sebuah pekan kecil Cape Town, Afrika Selatan, Ismail tinggal di sebuah komuniti di mana hampir 80% penduduknya tidak mempunyai pekerjaan, bergantung kepada geran sosial dan hidup di bawah garis kemiskinan.
Di kawasan ini dibelenggu keganasan geng dan penyalahgunaan dadah, Ismail dan ibunya serta tiga adik-beradiknya yang lain sedar akan bahaya tinggal di tempat seperti ini. Sewaktu Ismail berusia tujuh tahun, bapanya telah dibunuh di hadapan mata mereka sendiri. Abangnya yang berusai 17 tahun juga hampir-hampir terbunuh, dan kini mereka tinggal dalam keadaan ketakutan sepanjang masa.
Malahan, sesuatu yang mudah seperti berjalan ke sekolah dengan selamat amat merisaukan ibu mereka yang kini bekerja sebagai tukang sapu jalanan dengan gaji kurang dari $5 sehari. Oleh kerana anak-anaknya mendapat makanan di sekolah, ibu Ismail telah mengambil risiko setiap hari dengan menghantar mereka ke sekolah. Dengan empat orang anak yang perlu dibesarkan, hidupnya sukar dan dia terpaksa bertungkus-lumus mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan mereka di pekan itu.
Seorang pekerja sosial tempatan telah merujuk keluarga ini kepada pihak Islamic Relief, dan menasihati mereka supaya memohon program tajaan anak yatim kami. Setelah keluarga ini ditemubual dan menilai kesesuaian mereka serta keperluan mereka, pasukan Islamic Relief Afrika Selatan telah memasukkan nama Ismail dalam program tajaan anak yatim ini.
Kini, ibu Ismail tidak lagi perlu risau akan kekurangan makanan, dengan adanya hamper bulanan yang dihantar terus ke rumah mereka, selain pek makanan Qurbani dan Ramadan. Ismail juga mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan yang merangkumo khidmat psikososial menerusi program sokongan kehilangan dan kesedihan yang membantunya melupakan trauma masa lalu. Untuk menggalakkan pendidikan pula, keluarga ini telah diberikan alat tulis, uniform persekolahan serta beg.
Bantuan yang telah disalurkan menerusi Islamic Relief ini akan memastikan Ismail dan keluarganya dapat menikmati kehidupan yang lebih sempurna di tahun-tahun mendatang.
Ismail berdiri di luar rumahnya bersama ibu dan kakaknya.
Skim tajaan Islamic Relief telah menyinari kehidupan anak yatim untuk masa depan yang lebih cerah di seluruh dunia sejak tahun 1986.
*Nama telah ditukar bagi tujuan perlindungan identiti