TRUSTED SINCE 1984

Peningkatan Pelarian Semakin Membimbangkan di Selatan Idlib

IDLIB, 24 Dis. 2019 – Sejak 16 Disember, puluhan ribu orang awam telah melarikan diri dari daerah Ma’arrat An-Nu’man di wilayah selatan Idlib, ke utara akibat serangan bom udara yang berterusan.

Ribuan penduduk yang lain, dilaporkan menunggu pengeboman reda dan mencari pengangkutan untuk melarikan diri dari kawasan itu.

Rantau Greater Idlib (termasuk barat Aleppo) menempatkan kira-kira 3.2 juta orang di mana lebih separuh daripadanya terlantar dan tinggal di kem pelarian di sempadan Turki.

Tahap keselamatan yang tidak menentu di sepanjang laluan akses utara dan kekurangan bahan api di kawasan Idlib membataskan pergerakan orang awam untuk melarikan diri. Sejumlah kecil orang awam dilaporkan menuju ke kawasan di wilayah utara Aleppo.

Kebanyakan mereka yang melarikan diri amat memerlukan bantuan kemanusiaan, terutamanya perlindungan, makanan, ubat-ubatan, barangan bukan makanan dan bantuan musim sejuk.