Pendidikan itu Universal

Seorang Perdana Menteri tidak akan wujud tanpa guru yang mendidik. Seorang jurutera tidak akan mahir tanpa ilmu yang dipelajari. Seorang anak tidak akan berjaya tanpa didikan asas daripada ibu bapa. Dalam hal ini, pendidikan dilihat sebagai senjata yang mampu mengubah dunia dengan kehadiran pelbagai jenis kepakaran dalam membentuk pembangunan negara. Secara amnya, pendidikan adalah kunci kepada kejayaan dan nasib seseorang untuk mencapai sesuatu.

 

Di serata dunia, sudah menjadi lumrah bagi kanak-kanak untuk memulakan alam persekolahan seawal umur enam tahun. Fenomena ini dapat dilihat melalui tanggungjawab ibu bapa yang begitu mementingkan pendidikan terhadap anak-anak mereka agar masa depan generasi akan datang lebih terjamin. Namun, adakah pendidikan itu benar-benar menyeluruh bagi membentuk kerjaya dan harapan seorang anak kecil?

 

Dari dimensi lain, pendidikan boleh dikatakan agak mahal bagi sesetengah kumpulan masyarakat kerana mereka tidak mampu menampung perbelanjaan untuk anak-anak mereka. Apatah lagi golongan pelarian yang sudah tentunya tidak mempunyai kelayakan untuk mendapatkan tempat di sekolah. Ia sekaligus menimbulkan persoalan adakah pendidikan itu kebaikan yang dapat dikongsi bersama?

 

Baru-baru ini, Islamic Relief Malaysia (IRM) menerima kunjungan khas daripada Islamic Relief Canada (IR Canada). Ia seakan-akan percaturan yang ditetapkan Ilahi kerana tidak lain tidak bukan, kehadiran para sukarelawan IR Canada adalah untuk memupuk jalinan kerjasama kemanusiaan. Pada program kali ini, penekanan terhadap pendidikan dijadikan pemacu utama dalam memupuk semangat yang tinggi untuk mempelajari sesuatu ilmu yakni pendidikan yang mempunyai banyak cabang.

 

Setakat September 2017, pelarian Rohingya berdaftar di Malaysia telah mencatat angka sebanyak 62,153 dan mereka menetap di negeri yang berbeza. Namun, kehadiran mereka tidak disenangi ramai atas faktor-faktor tertentu seperti keselematan, kebersihan, sikap, dan budaya yang berbeza dengan rakyat Malaysia. Komuniti pelarian ini juga kian bertambah dan ia turut menimbulkan situasi yang sukar bagi kanak-kanak kerana mereka tiada dokumen yang sah untuk mendapatkan pendidikan.

 

Apa yang menyedihkan, kelompok ini terpaksa bekerja tanpa permit bagi menampung keperluan hidup manakala anak perempuan yang berumur sekitar 15 tahun akan dikahwinkan bagi meringankan beban ibu bapa. Adakah situasi ini wajar bagi seorang kanak-kanak perempuan yang lebih memerlukan pendidikan untuk mengubah nasib ibu bapa mereka?

 

Dengan kerjasama IR Canada, IRM membawa semua sukarelawan meninjau salah sebuah projek yang dibangunkan khas untuk pelarian Rohingya iaitu Heritage of Knowledge by Providing Education to the Rohingya Refugees (HOPE). Projek tersebut dilaksanakan di Puchong. Berbeza dengan keadaan di sekolah-sekolah biasa, sekolah tersebut tidak mempunyai kelengkapan dan tenaga pengajar yang cukup untuk mendidik seramai 37 pelajar.

 

IR Canada mengambil peluang ini untuk mengaplikasikan pendekatan yang baharu dalam memupuk minat para pelajar agar mereka lebih menghargai pendidikan. Pendidikan formal amat diperlukan, namun keseronokan ketika belajar juga harus dititikberatkan kerana kanak-kanak pada abad 21 kini lebih hebat dan mereka cepat merasa bosan dengan pendidikan secara konvensional.

 

Pada awalnya, modul yang disediakan oleh IR Canada nampak terlampau sukar bagi kanak-kanak itu untuk memahaminya. Bagaimanapun, apa yang dilihat adalah kepantasan mereka ketika memberi respon yang sangat memberangsangkan. Rata-rata pelajar tersebut mampu dan berkebolehan untuk melakukan apa yang diajar melalui beberapa modul seperti Bingo Maths, Tale n Time, dan Science Bridge. Contohnya, melalui Bingo Maths, pendekatan yang digunakan adalah permainan mudah dalam menjawab soalan dan sekaligus menarik minat mereka untuk menghayati nombor-nombor.

 

Selain itu, program yang bertemakan pendidikan ini juga sekaligus dapat menjalinkan hubungan mesra antara kanak-kanak Rohingya, sukarelawan IR Canada, dan pihak IRM. Cabaran utama dalam program ini adalah faktor bahasa kerana kedua-dua kumpulan ini tidak menggunakan penyampaian bahasa yang sama. Pelajar-pelajar juga tidak berkemahiran tinggi dalam Bahasa Inggeris untuk memahami apa yang dibincangkan oleh sukarelawan IR Canada. Namun, ia bukanlah halangan bagi mereka untuk belajar kerana isyarat tangan dan penggunaan kata yang mudah sudah memadai untuk bekerjasama.

 

Sebagai contoh, aktiviti Science Bridge memerlukan daya kreativiti dan kefahaman konsep yang tinggi bagi memastikan jambatan yang dibina itu kukuh untuk menampung berat sesuatu beban. Melalui aktiviti ini, pelajar-pelajar serta sukarelawan berkomunikasi dengan lebih efektif supaya setiap mesej yang disampaikan dapat diterima secara langsung.

 

Jika dikaji semula, setiap kanak-kanak kecil sebenarnya mempunyai daya kefahaman dan kreativiti yang tinggi kerana mereka masih dalam proses membesar termasuklah kanak-kanak pelarian Rohingya. Sungguhpun demikian, kanak-kanak tersebut tidak diberi peluang untuk mendapatkan pendidikan secara formal memandangkan mereka tiada dokumen yang sah untuk membenarkan mereka berada di sekolah.

 

Ia juga merupakan pendedahan yang baik untuk sukarelawan IR Canada kerana mereka sedikit sebanyak dapat menghayati kepayahan yang dialami oleh pelarian Rohingya di Malaysia. Meskipun kanak-kanak ini adalah kelompok yang jauh daripada masyarakat biasa, mereka mempunyai semangat yang tinggi untuk menuntut ilmu. Namun, apakah nasib mereka pada masa akan datang?