Kajang, 31 Julai 2019 – Menyedari akan kesukaran hidup yang dihadapi pelarian Rohingya di Malaysia,
Islamic Relief (IR) dengan kerjasama Qatar Charity mengambil inisiatif menyumbangkan 45 ribu tin makanan berisi daging kambing di lebih 30 lokasi bagi membantu meringankan beban mereka.
Sumbangan ini memberi fokus kepada golongan asnaf dari komuniti pelarian Rohingya dari sekitar Lembah Klang, Kedah, Pulau Pinang dan Pahang.
“Alhamdulillah, Islamic Relief Malaysia (IRM) selaku pelaksana program edaran daging dalam tin untuk pelarian Rohingya di Malaysia berjaya mengumpulkan beberapa wakil komuniti Rohingya bersama ibu bapa pelajar RISE yang tinggal berdekatan untuk menerima sumbangan yang diamanahkan oleh penaja iaitu Qatar Charity,” kata Fa’azurah Kadir, Pegawai Kanan Bahagian Program Domestik IRM.
Tambahnya, objektif gimik edaran yang dianjurkan di Refugees Intellectual Skills & Excellence (RISE), Kajang Selangor ini dijalankan bagi merai serta menzahirkan keprihatinan ramai pihak terhadap nasib yang melanda komuniti Rohingya di negara ini sekaligus membuktikan keberadaan mereka tidak pernah dipinggirkan sama sekali.
Dalam majlis itu, sebanyak 20 keluarga penerima manfaat telah menerima edaran sumbangan makanan. Antara wakil komuniti Rohingya yang hadir ialah Rohingya Society in Malaysia (RSM), Al-Ikhlas Rohingya School & Rohingyan Refugee Center, United Arakan Institute Malaysia (UAIM), Rohingyan Community Educare Center (RCEC), Persatuan Jaringan Islam Global Masa Depan (JREC) dan ibu bapa pelajar RISE.
“Kehidupan sebagai pelarian memang sukar. Kami hanya hidup bergantung harap daripada bantuan orang ramai. Saya sangat bersyukur dan terharu kerana menerima sumbangan daging ini,” kata Laila Husin Kabir, ibu tunggal pelarian Rohingya.
Menerusi edaran ini, para penerima manfaat masing-masing menerima sumbangan 5 tin daging seberat lebih dua kilogram. IRM berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi peluang kepada mereka untuk menikmati juadah daging yang mungkin agak sukar diperolehi lantaran kekangan kewangan yang dihadapi.