Krisis anak yatim merupakan cabaran global yang memberi kesan kepada jutaan kanak-kanak di seluruh dunia tanpa mengira bangsa, agama atau negara. Anak-anak yatim ini menghadapi kesukaran membesar tanpa kasih sayang dan sokongan daripada keluarga.
Banyak halangan dan cabaran dalam memenuhi keperluan anak-anak yatim termasuklah menyediakan keperluan asas seperti makanan, air bersih dan tempat tinggal. Kebanyakan mereka juga tidak mendapat akses pendidikan yang baik, terdedah kepada isu buruh kanak-kanak, perkahwinan secara paksa, pemerdagangan manusia, kekurangan sokongan masyarakat, serta kehilangan harta benda.
Setiap hari, kanak-kanak terabai akibat kemiskinan dan menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dianggarkan 800,000 orang setiap tahun membunuh diri, dengan lebih daripada 75 peratus daripada mereka tinggal di negara berpendapatan rendah atau sederhana.
Melalui pelbagai program dan aktiviti yang dilaksanakan Islamic Relief sejak tahun 1986, kehidupan anak-anak yatim ini lebih terbela. Islamic Relief sentiasa berusaha membina masa depan yang lebih cerah dan memberi kegembiraan untuk anak-anak yatim di seluruh dunia.
Di Islamic Relief Malaysia, kami komited untuk memberikan kehidupan yang berbeza buat anak-anak yatim. Melalui Kasih MyYateem, sumbangan yang diberikan akan digunakan untuk membantu anak-anak yatim di lebih daripada 25 buah negara melalui bantuan saraan keluarga, pendidikan tinggi, kesihatan dan makanan asas. Islamic Relief berusaha untuk memastikan golongan sasar ini menerima penjagaan dan peluang yang mereka perlukan untuk berkembang maju dan berjaya.
Bantuan Saraan Keluarga
Kehidupan yang mencabar acapkali memaksa seorang anak yatim hidup dalam serba kekurangan tanpa keperluan asas seperti makanan dan tempat tinggal yang selesa. Kos sara hidup yang semakin meningkat hari demi hari menambahkan lagi tekanan sedia ada kepada keluarga mereka. Ada antara mereka yang terpaksa bertahan untuk teruskan kehidupan tanpa mendapat peluang untuk bekerja. Lalu, bagaimana untuk mereka menampung keperluan harian?
Dana melalui MyYateem Care ini sangat penting bagi membantu anak yatim sekeluarga. Sumbangan sebanyak RM1,000 sebulan untuk satu keluarga yang mempunyai sekurang-kurangnya empat orang anak, dapat membantu memenuhi keperluan asas mereka sekeluarga.
Pendidikan Tinggi
Tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan merupakan salah satu kunci untuk mendapat masa depan yang lebih cerah dan membentuk seseorang untuk berkembang maju dalam kehidupan.
Namun, kekangan kewangan kadangkala membantutkan impian anak-anak yatim ini untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Melalui MyYateem Care, sumbangan yang diberikan membolehkan anak-anak yatim menerima biasiswa sebanyak RM130 sebulan untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat universiti sekaligus memberi harapan kepada mereka untuk terus mengejar cita-cita.
Sokongan Keperluan Kesihatan
Islamic Relief sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak yatim dan keluarga mereka yang terjejas akibat peperangan, masalah kesihatan, kemiskinan dan kematian.
Sumbangan bulanan sebanyak RM130 dapat menyokong keperluan kesihatan untuk seorang anak yatim, adik-beradik, atau penjaga mereka pada saat-saat yang diperlukan.
Kos ini merangkumi keperluan kecemasan, perjalanan ke hospital, ubat-ubatan, dan alat perubatan seperti kerusi roda, alat bantuan pendengaran, dan kanta mata. Dana ini juga turut digunakan untuk membantu anak yatim yang menghidap penyakit kronik seperti asma dan kencing manis.
Setiap sumbangan tidak kira seberapa besar atau kecil nilainya, memainkan peranan penting dalam mengubah kehidupan anak-anak yatim. Sumbangan yang anda hulurkan, dapat memberi peluang untuk mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, dapat menampung keperluan kesihatan dan makanan asas serta menyediakan perlindungan yang lebih kondusif dan selamat.
Bersama kita berikan senyuman dan kebahagian buat anak-anak yatim ini, insya-Allah.