TRUSTED SINCE 1984

Menghayati Nuzul Quran

Sesungguhnya Al-Quran itu pegangan diri, bukanlah hiasan penyeri. Di ambang fasa akhir Ramadan, umat Islam sebaiknya bermuhasabah diri dengan prestasi ibadah masing-masing. Adakah kualiti ibadah kita pada waktu siang dan malam hari bertambah baik dan sejauh mana kita menghayati tafsiran dan makna Al-Quran dalam bulan yang mulia ini? Berbicara tentang ibadah, ia termasuklah penghayatan Al-Quran sebagai pegangan hidup.

 

Seperti Firman Allah SWT dalam potongan ayat surah Al-Baqarah ayat 185:

“….شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ”

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) “bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia….” Al-Baraqah, 2:185

 

Jika diteliti Sirahnya, peristiwa Nuzul Quran merupakan peristiwa turunnya ayat Al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad SAW iaitu surah Al-Alaq ayat 1 hingga 5 dan seterusnya secara berperingkat sehingga lengkap isinya sebagaimana Al-Quran yang kita hayati pada hari ini. Peristiwa agung ini berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke 41 keputeraan baginda ketika sedang melakukan ibadah di Gua Hira’.

 

Selain itu, penurunan Al-Quran berlaku melalui tiga peringkat. Pada peringkat pertama, Al-Quran disimpan di Luh Mahfuz iaitu lembaran terpelihara. Kemudian pada peringkat kedua, Al-Quran diturunkan secara keseluruhan ke Baitul Izzah yang berada di langit pertama. Akhir sekali, Al-Quran mula diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril selama 23 tahun, iaitu 13 tahun di Mekah manakala 10 tahun lagi di Madinah.

 

Malah Rasulullah SAW juga bersabda:

تَرَكْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا : كِتَابَ اللهِ وَ سُنَّةَ رَسُوْلِهِ

“Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah RasulNya” (Hadis Sahih Lighairih diriwayatkan oleh Imam Malik, al-Hakim dan al-Baihaqi)

 

Dalam pada itu, Al-Quran bukanlah semata-mata sebuah buku atau karangan yang perlu dituruti dengan tajwid dan tarannum, malah ia menceritakan tugas dan fungsinya untuk setiap manusia. Secara ringkas, Al-Quran itu seakan-akan kompas sebagai panduan untuk setiap penganutnya.

 

Sebagai Umat Islam, peristiwa Nuzul Quran pada bulan Ramadan seharusnya dijadikan sebagai medan untuk menghayati setiap bait-bait Al-Quran agar kita faham isi kandungan yang disampaikan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia. Apabila Ramadan sudah berlalu, kita tidak sahaja bergembira meraikan kehadiran Aidilfitri, malah meneruskan usaha untuk mendalami ilmu yang terkandung dalam mukjizat Allah SWT.