TRUSTED SINCE 1984

Malam Menakjubkan Penuh Dengan Inspirasi

GOMBAK, 13 Nov 2016 – Islamic Relief Malaysia sentiasa berkobar-kobar untuk mewujudkan sebuah komuniti penyayang; di mana setiap individu menjalankan tanggungjawab sosial mereka, dan bersikap empatik terhadap penderitaan golongan yang kurang bernasib baik tanpa mengira bangsa, agama atau jantina, selain meraikan Majlis Konvokesyen UIAM kali ke-32. Tahun ini, bersempena dengan CONVOCATION FESTIVAL 2016 (CONVEST’ 16), IRM dengan seikhlas hati telah menganjurkan sebuah acara “Malam Kemanusiaan” dengan motonya “Giving Hope for Tomorrow” dengan kerjasama Projek Buku Jalanan Chow Kit (PBJCK). Program ini telah diadakan di Pusat Aktiviti Kebudayaan UIAM Kampus Gombak bermula jam 8:00 malam sehingga 10:45 malam. Ia terbuka kepada semua pelajar UIAM dan orang awam.

Objektif acara ini adalah untuk meraih dana menerusi jualan tiket yang akan disumbangkan kepada PBJCK. PBJCK adalah sebuah organisasi yang menyantuni golongan miskin dan memerlukan yang berada di sebuah bahagian kecil Bandaraya Kuala Lumpur iaitu Chow Kit.  Mereka percaya bahawa pendidikan itu amat berharga, terutamanya pendidikan bagi kanak-kanak dari keluarga miskin bandar.

Acara ini dianggap unik kerana ia berhasrat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang ketidakadilan sosial yang jelas membelenggu penduduk Chow Kit. Kesedaran ini diharap akan menggalakkan orang ramai untuk saling bantu-membantu dan menjadi ejen perubahan. Acara yang telah dianjurkan sepenuhnya oleh para pelajar UIAM yang mempunyai kesungguhan yang tinggi dalam kerja-kerja kesukarelawanan dan kebajikan ini telah diketuai oleh pengarah program mereka, iaitu saudara ‘Ammar Bin Khalil.

Antara acara-acara menarik pada malam tersebut adalah deklamasi puisi oleh anak-anak Chow Kit dan Fynn Jamal, ucap utama daripada Cikgu Rahayu, pengasas bersama PBJCK dan Syed Azmi. Terdapat juga persembahan nyanyian oleh Caliph Buskers, Mark Adam dan Encik Mimpi. Akhir sekali, sebuah pementasan teater muzikal oleh Notorious Production House, yang bertajuk “Cross Roads”.

Petikan ucapan harapan daripada Cikgu Rahayu:

“Kami berharap agar anak-anak ini berpeluang menjadi contoh kepada anak-anak dari keluarga miskin bandar yang lain, dan menjadi simbol harapan serta kemungkinan, yang lahir dari sikap tidak mudah putus asa. Kami percaya, suatu hari nanti, anak-anak Chow Kit ini boleh mengisytiharkan status mereka dengan penuh rasa bangga.” kata Cikgu Rahayu, pengasas bersama Projek Buku Jalanan Chow Kit.

Malam Kemanusiaan 2016 percaya bahawa satu-satunya cara untuk mengubah mobiliti sosial anak-anak yang kurang bernasib baik ini adalah menerusi pendidikan. Pendidikan tidak seharusnya menjadi satu bentuk kemewahan, sebaliknya harus menjadi keperluan asas yang boleh dinikmati semua orang. Sekiranya pihak berkuasa gagal untuk memenuhi keperluan ini, sebagai warga awam yang baik, kita perlu bertindak dan membantu ke arah perubahan yang ingin kita saksikan. Marilah kita berusaha agar pendidikan menjadi obor harapan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik ini.

Kredit: FIESTA KONVOKESYEN UIAM (CONVEST’16)