Lebih Tiga Ribu Penduduk Mali Melarikan Diri Ekoran Pertembungan antara Puak-Puak Bersenjata

MALI, 29 Januari 2021 – Seramai 3,374 orang dilaporkan terpaksa meninggalkan kediaman mereka ekoran berlaku pertembungan di antara puak-puak bersenjata Mali yang berlaku di Ghourma Rharous, wilayah Bambara Maoude.

 

Kebanyakan penduduk yang melarikan diri terpaksa meninggalkan kediaman dan harta benda mereka termasuk bekalan makanan dan haiwan ternakan kerana terlalu bimbang melihat keganasan yang berlaku.

 

Sebahagian besar pelarian kini tinggal di dalam khemah dalam keadaan cuaca sejuk.

 

Keadaan ini membuatkan mereka terdedah dengan risiko jangkitan penyakit radang paru-paru.

Islamic Relief Mali kini sedang berada di lapangan bagi menjalankan penilaian bantuan kemanusiaan yang diperlukan para pelarian dengan kerjasama ‘International Medical Corp’ (IMC).

Antara keperluan utama telah dikenalpasti ketika ini ialah makanan, tempat tinggal, ubat-ubatan dan air.

Islamic Relief turut merangka untuk menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan serta sumber air bersih untuk penduduk terjejas.