TRUSTED SINCE 1984

Laporan Tahunan 2015

Laporan tahunan Islamic Relief Worldwide bagi tahun 2015 telah diterbitkan pada hari ini, yang memperincikan pendapatan, perbelanjaan dan projek yang telah kami laksanakan untuk membantu 8.3 juta orang di serata dunia.

 

 

Tahun 2015 merupakan tahun yang amat rumit dan mencabar, di mana kita telah menyaksikan, krisis pelarian paling buruk dalam sejarah dunia sejak Perang Dunia Kedua, dengan konflik yang berlarutan terus menghancurkan keluarga, bencana alam yang memusnahkan mata pencarian komuniti, dan jutaan penduduk dunia yang dibelenggu kemiskinan tegar. Bagi Islamic Relief, cabaran inilah yang telah memperkuatkan kesungguhan kami untuk lebih giat untuk meluaskan usaha kami di seluruh dunia dan menyampaikan bantuan kepada mereka yang amat memerlukan.

Pendapatan keseluruhan kami mencecah £105.6 juta, dengan perbelanjaan program meningkat sebanyak 25% kepada £100.3 juta. 50% daripada tugasan kami ditumpukan kepada usaha memperkasakan komuniti, dan kami telah melaksanakan projek pembangunan mampan selain pendidikan yang bertujuan untuk mengubah nasib penduduk miskin dunia secara kekal. Lebih 250,000 orang di seluruh dunia kini boleh menjalani kehidupan yang lebih baik apabila perubahan cuaca berlaku, dengan adanya rumah tahan bencana, biji benih tahan cuaca, dan kursus kelangsungan hidup. Program mikrokewangan multinasional ulung kami telah membolehkan 15,000 usahawan di berbagai-bagai negara untuk membebaskan diri dari cengkaman kemiskinan, manakala 48,000 anak yatim pada waktu ini menerima manfaat program penajaan kami.

Sebagai salah satu responden terawal dalam kejadian bencana kemanusiaan, kami telah menyalurkan bantuan kecemasan dengan pantas sebaik sahaja gempa bumi melanda Pakistan, Afghanistan dan Nepal, dan sewaktu limpahan banjir telah memasuki kediaman penduduk di United Kingdom. Dengan bertugas di dalam lapangan yang sukar dijejaki oleh pelbagai organisasi lain, kami boleh menyantuni lebih ramai penduduk dunia yang memerlukan. Dengan peperangan Syria yang kini memasuki tahun keempat, kami telah menyalurkan bantuan kepada empat juta orang yang terjejas akibat peperangan. Kehadiran tempatan kami di Yaman bermaksud kami dapat segera bergerak balas apabila kekejaman tercetus, kami berjaya bertindak dengan pantas dan membekalkan 1.3 juta penduduk dengan bekalan makanan dan akses kepada air minuman yang bersih.

Pada tahun 2015, kami telah menggesa komuniti dunia untuk menjadikan dunia lebih selamat dan lebih selesa menerusi Deklarasi Islam ke atas Perubahan Cuaca. Deklarasi ini telah diusahakan oleh Islamic Relief dan merupakan yang pertama diwujudkan. Kami juga telah menerbitkan dasar keadilan gender kami yang pertama. Kami juga telah memperkenalkan Perhimpunan Agung untuk menambah baik kualiti kehadiran dan peranan kami di dalam sektor antarabangsa. Bersama dengan Lembaga Pemegang Amanah, Perhimpunan Agung ini akan mempromosi dana untuk program jangka masa panjang dan mengusahakan usahasama produktif dengan agensi dan institusi bantuan kemanusiaan di seluruh dunia. Kami percaya, menerusi usaha-usaha ini, kami akan terus berkembang dan melakukan perubahan berkekalan dalam membasmi kemiskinan dan penderitaan warga dunia.

Tanpa komitmen staf kami yang amat berdedikasi, sukarelawan, dan penyokong, kami tidak akan berjaya menyalurkan bantuan selama ini. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada orang awam, rakan kongsi kerajaan dan multilateral kami atas kemurahan dan keikhlasan hati mereka. Kami amat berbesar hati dengan kepercayaan yang telah diberikan kepada kami untuk melaksanakan perubahan dalam dunia ini. Bersama-sama anda, kami akan terus berbakti dengan melaksanakan program-program berimpak tinggi yang bakal mengubah kualiti kehidupan mereka yang benar-benar memerlukan.

 

Muat turun/lihat penerbitan

Islamic Relief adalah organisasi kemanusiaan dan pembangunan bebas yang telah berusaha keras untuk membasmi kemiskinan dan penderitaan penduduk dunia selama lebih 32 tahun.