Ethiopia, 4 Jun 2021 – Lebih lima juta rakyat Ethiopia kini dilaporkan berdepan ancaman kebuluran, lebih dua juta lagi hilang tempat tinggal manakala puluhan ribu penduduk terpaksa melarikan diri ke Sudan ekoran krisis kemanusiaan yang berlaku di wilayah Tigray sejak November tahun lalu.
Sehingga kini, konflik yang berlaku hampir tujuh bulan ini telah meragut ribuan nyawa. Islamic Relief Sudan dan Islamic Relief Ethiopia telah menjalankan pelbagai bantuan kemanusiaan di wilayah Afar kerana akses ke Tigray ketika ini sangat sukar.
Terkini, Islamic Relief telah merangka pelan bantuan berbentuk barangan bukan makanan (NFI) selain berusaha menyediakan pejabat di Makelle, Tigray bagi memastikan keberkesanan bantuan yang disalurkan.
Islamic Relief juga sedang giat menjalankan penilaian keperluan mendesak di kawasan terjejas serta bekerjasama dengan rakan kemanusiaan lain serta pihak berwajib bagi mempercepatkan proses penyaluran bantuan.