TRUSTED SINCE 1984

Korban Jiwa dan Raga Demi Sahsiah Anak Rohingya

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Selain ibu bapa, pendidik menggenggam amanah dan tanggungjawab yang besar dalam membentuk peribadi kanak-kanak sejak awal persekolahan. Secara dasarnya, umum tahu bahawa seorang guru berperanan untuk mencurahkan ilmu pengetahuan dalam mendidik keupayaan seseorang pelajar demi mengejar cita-cita mereka.

Sungguhpun demikian, konsep ‘mendidik’ itu sangat luas. Tugas seorang guru bukanlah sekadar berdiri di hadapan sambil menyampaikan ilmu, namun memerlukan keupayaan untuk membentuk jati diri kanak-kanak agar mereka terlatih sebagai insan yang berguna kepada masyarakat. Wan Mohd Amirol Ashraf Wan Mohd Badruddin, seorang guru di Refugee Intellectual Skill and Excellence (RISE) yang mempunyai pengalaman dalam mendidik anak-anak Rohingya.

RISE merupakan projek yang dibangunkan oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) bagi memberi peluang kepada anak-anak pelarian di Malaysia untuk memperoleh ilmu pengetahuan secara formal. Selesa dengan gelaran Ustaz Wan, beliau menyatakan bahawa ia adalah pusat bimbingan alternatif yang sangat meluas dan tidak memberi fokus kepada pendidikan formal semata-mata.

Mendidik minda

“Pada awal kemasukan saya dalam pusat bimbingan ini, saya tidak menyangka sebenarnya pusat bimbingan ini mempunyai cita-cita yang besar untuk melahirkan kanak-kanak yang berkebolehan di samping membentuk jati diri mereka. Contohnya, kemahiran pembuatan kek dan pastri bagi memudahkan mereka untuk mendapatkan pekerjaan,” kata Ustaz Wan mengenai sangkaan awalnya terhadap RISE.

Tambahnya, selepas beberapa bulan di pusat bimbingan tersebut, pemikiran Ustaz Wan lebih bercambah dan cakna akan isu kemanusiaan yang berlaku terhadap komuniti pelarian khususnya Rohingya. “Saya tidak meletakkan pemikiran untuk memilih kerja kerana percaya ia adalah rezeki. Namun setelah beberapa lama di RISE, saya mula belajar dan mengambil berat berkenaan isu kemanusiaan yang berlaku di negara asal mereka.

“Dari situ saya boleh simpulkan bahawa minda saya bercambah kerana selain mencari nafkah sendiri, pekerjaan yang saya lakukan sebenarnya adalah khidmat bakti dan tanggungjawab sosial yang diberikan kepada golongan khas berkeperluan yakni anak-anak pelarian Rohingya. Saya juga boleh kata pada awal saya berada di sini, apa yang saya mahukan adalah pekerjaan, namun ia berubah setelah saya berkhidmat di sini sebagai pendidik,” jelas Ustaz Wan tentang pengalaman awalnya di RISE.

Selain itu, Ustaz Wan turut berhadapan dengan beberapa situasi yang agak kekok apabila berinteraksi dengan pelajar-pelajarnya yang majoriti Rohingya semasa awal kerjayanya di RISE. “Awalnya, saya agak terkejut dengan mereka kerana loghat yang dibawa begitu berbeza dengan Bahasa Melayu yang digunapakai setiap hari. Ada antara mereka berbahasa mengikut telor bangsa Cina di negara kita dan bila saya cuba menyelami kehidupan, barulah saya tahu sebelum ini mereka pernah bekerja dengan majikan berbangsa Cina.” Jelas Ustaz Wan.

Tanggungjawab mendidik akhlak

Sebagai pendidik yang bertanggungjawab untuk membentuk peribadi mereka, Ustaz Wan bersama barisan guru yang lain berpendapat bahawa pelajar-pelajar ini memerlukan pembelajaran Bahasa Melayu yang mendalam agar mereka tahu sebutan yang sebenar ketika bertutur dengan orang awam. Bahkan, anak-anak ini merupakan generasi ketiga yang mendapat pendidikan formal di RISE.

“Mereka sebenarnya merupakan generasi ketiga. Maksudnya, ibu bapa dan datuk nenek mereka sudah mendahului kehidupan yang lama tanpa mendapat pendidikan formal. Masyarakat juga perlu faham latar belakang keluarga mereka tidak pernah mendapat pendidikan sejak awal kehidupan. Jadi pelajar-pelajar ini sebenarnya adalah generasi yang terawal memperoleh kemudahan ini. Apa yang saya boleh simpulkan, komuniti mereka kurang terdidik dan kami sebagai guru meletakkan minda bahawa mereka perlu dibentuk dengan sebaik mungkin,” kata Ustaz Wan apabila berbicara mengenai salasilah komuniti Rohingya.

Disoal mengenai kenangan manis yang pernah dilalui bersama pelajar-pelajar RISE, Ustaz Wan mengimbas kembali lawatan yang pernah dilakukan di Pusat Sains Negara bersama sukarelawan Islamic Relief (IR) Canada menerusi program Inspire tahun lalu.

“Masih segar dalam ingatan saya semasa lawatan ke Pusat Sains Negara bersama pelajar-pelajar ini. Ketika itu salah seorang daripada sukarelawan IR Canada menyampaikan kepada kami bahawa ada warganegara Malaysia memuji tingkah laku anak-anak Rohingya yang begitu berdisiplin dan patuh dengan arahan.

“Sebagai seorang guru, situasi seperti itu merupakan salah satu kejayaan yang tercipta setelah berhempas pulas mendidik dan membentuk peribadi mereka sehingga hari ini. Ia menjadi pegangan kami sebagai pendidik bahawa keberjayaan anak-anak ini diukur melalui etika, tingkah laku, dan akhlak seandainya mereka tidak mampu membawa dari sudut ilmu pengetahuan dan sebagai pendidik, saya amat terharu dengan perubahan mereka.” Kata Ustaz Wan terharu seraya mengingat kembali peristiwa yang menggembirakan hatinya.

Kuasai kemahiran bahasa asing

Dalam pada itu, matlamat seseorang pendidik tidak pernah lari jauh dari landasan iaitu melahirkan pelajar yang mampu menguasai kesemua subjek yang diajar di dalam kelas. Namun bagi golongan khas ini, apa yang diimpikan adalah kemahiran dan pemantapan berbahasa Inggeris dalam kehidupan seharian.

“Kami menekankan Bahasa Inggeris dan paling tidak mereka sedikit sebanyak memahami bahasa itu sendiri dari sudut pembacaan, pendengaran, penulisan, dan akhirnya mereka mampu bertutur dalam bahasa global tersebut.

“Menerusi penguasaan Bahasa Inggeris jugalah akan membuka peluang mereka untuk mendapat pekerjaan di negara ketiga yang menerima golongan pelarian. Saya juga yakin jika mereka mempunyai sijil pembelajaran asas, ia akan menjadi pemudah cara untuk mereka memohon pekerjaan dengan kemahiran komunikasi dalam Bahasa Inggeris,” jelas Ustaz Wan berkenaan dengan kemahiran yang perlu diterapkan kepada anak-anak Rohingya.

Berbicara mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang perkhidmatannya di RISE, Ustaz Wan berpendapat bahawa cabaran komunikasi menjadi faktor kesukarannya untuk mengajar, namun ia bukanlah penghalang. “Saya boleh anggarkan cabaran terbesar adalah komunikasi kerana pada awal saya berkhidmat, majoriti pelajar tidak mampu bertutur dalam Bahasa Melayu, dan tidak memahami Bahasa Melayu dengan tepat. Dari situ wujudnya masalah berkomunikasi.

“Dari sudut pemahaman pula, setiap subjek mempunyai terminologi atau perkataan khas yang sukar untuk difahami jika tidak diberi penjelasan. Contohnya perkataan saintifik seperti oksigen atau karbon dioksida. Penerangan perlu diulang berkali-kali agar mereka akan sentiasa ingat makna yang dipelajari. Mereka mungkin faham dalam bahasa sendiri, namun tunjuk ajar juga perlu ditekankan dalam pembelajaran Bahasa Melayu atau Inggeris. Konsepnya berangkai iaitu penerangan, hafalan, ingat sehingga wujudnya kefahaman,” jelasnya mengenai cabaran yang dilalui.

Tambahan pula, masa depan anak-anak Rohingya ini sebenarnya lebih cerah jika mereka berhijrah ke negara ketiga demi meneruskan kelangsungan hidup. “Pada saya, peluang akan lebih baik seandainya mereka berpindah ke negara ketiga yang mesra Muslim dan lebih baik jika mereka tinggal bersama komuniti mereka sendiri. Di sini, mereka akan menjalani pelbagai kemahiran sebelum mengambil keputusan untuk berhijrah.”

Ustaz Wan berharap agar anak-anak ini akan menjadi insan yang berguna kepada Masyarakat di samping berbakti semula kepada komuniti. “Kami di sini akan sentiasa berusaha dengan sebaik mungkin dan besar harapan saya agar mereka menjadi modal insan yang berguna kepada masyarakat dan komuniti sendiri pada masa akan datang.”