KONSORTIUM “GOOD NEIGHBOURS” TERIMA ANUGERAH MARTIN LURTHER KING ATAS KERJASAMA ISU PELARIAN

Inisiatif bersama antara Islamic Relief Sweden, gereja Sweden dan masjid Stockholm telah diiktiraf apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Martin Luther King pada tahun ini, iaitu satu anugerah yang berprestij di Sweden.

Konsorstium Goda Grannar (istilah Sweden untuk “Good Neighbours”) diangkat dan dipuji oleh juri anugerah kerana berjaya menyatukan kepercayaan, perpaduan dan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk merealisasikan impian dan mempromosikan gaya hidup demokratik.

Konsortium itu dibentuk pada tahun 2015 setelah kemasukan beramai-ramai pelarian di Stockholm dari negara-negara yang dilanda konflik peperangan seperti Syria. Dengan kerjasama para sukarelawan, konsortium itu pada awalnya menyediakan hampir 4,000 tempat tinggal di gereja dan masjid kepada pelarian. Sejak itu, bantuan tersebut telah berkembang dan sehingga kini, pihak konsortium menyediakan lebih banyak perkhidmatan untuk pelarian termasuk kafe bahasa, panduan mengenai masyarakat Sweden dan nasihat undang-undang.

“Anugerah penghargaan ini didedikasikan untuk semua sukarelawan yang telah berkorban menyumbangkan masa, komitmen, tenaga dan kepakaran mereka dalam mewujudkan masyarakat yang lebih berperikemanusiaan,” kata Fredrika Gårdfelt, paderi gereja Sweden dari kawasan Katarina.

Mohamed Ibrahim, Setiausaha Am Islamic Relief Sweden berkata, “Kami sangat bangga dan gembira kerana Goda Grannar menerima pengiktirafan ini. Namun, inisiatif kerjasama antara agama kini menjadi lebih sukar dengan kewujudan polarisasi yang kuat di Sweden dan di seluruh dunia hari ini. Walaubagaimanapun, kami tetap berharap dapat meneruskan kerjasama ini pada masa akan datang.”

Ketika pengumuman anugerah itu, juri berkata:

“Martin Luther King pernah berkata, ‘Orang yang sukakan kedamaian harus belajar mengurus dengan cekap sepertimana orang yang suka berperang’.

“Faktor peperangan menyebabkan sebilangan besar pelarian meminta hak suaka di Sweden pada tahun 2015. Goda Grannar, satu kumpulan gabungan yang telah menyambut dan mengurus para pelarian dengan baik, muncul di tengah-tengah Stockholm atas inisiatif gereja kawasan Katarina, masjid Stockholm dan Islamic Relief Sweden. Dalam situasi yang menekan dengan peningkatan polarisasi, Goda Grannar tetap teguh berdiri sebagai contoh terbaik mengenai kekuatan jalinan kerjasama.

“Kerjasama dan kepercayaan antara satu sama lain telah membentuk perpaduan dan menjadi pendorong untuk bekerja secara bersama. Konsortium tersebut membuktikan bahawa biarpun mempunyai latar belakang yang berbeza, namun mereka saling menghormati perbezaan budaya dan agama, dan dapat bekerjasama dengan baik demi melahirkan masyarakat harmoni. Pemenang anugerah ini adalah contoh terbaik sebuah konsortium yang merai dan memanfaatkan pelbagai kelebihan dimana ahli komuniti dan profesional berganding bahu untuk menyumbang ilmu pengetahuan dan kemahiran ynag mereka ada.

“Martin Luther King mendorong kami untuk mengubah kekecewaan terhadap ketidakadilan, menjadi semangat untuk mewujudkan dunia yang ingin kami gapai. Inisiatif Goda Grannar yang bersungguh-sungguh memberi inspirasi kepada kita semua untuk merealisasikan impian dan mempromosikan gaya hidup demokratik. Ini adalah kaedah yang baik dalam mencapai perdamaian menggunakan kata-kata “bersama” dan “selamat datang”. Jawatankuasa penghargaan percaya bahawa dalam konteks sebenar Martin Luther King, projek tersebut telah menunjukkan kekuatan dan membina semangat kemanusiaan dan belas kasihan serta mengurangkan isu ketidakadilan.”

Mengenai Anugerah Martin Luther King:

Anugerah Martin Luther King dianugerahkan oleh Gereja Equmenia, The Swedish Fellowship of Reconciliation (SweFOR) dan Majlis Kristian Sweden. Ia diberikan dalam semangat Martin Luther King untuk meraikan warisan harapan dan perdamaian.