Idleb, 7 Julai 2021 – Sekurang-kurangnya 31 orang penduduk Syria terkorban sejak awal Jun lalu, ekoran serangan yang disasarkan terhadap kemudahan awam di Selatan Idlib melibatkan hospital, sekolah di kem pelarian dan ibu pejabat bahagian pertahanan negara itu.
Pada 23 Jun lalu, serangan artileri telah dilancarkan di wilayah Idleb dan barat Aleppo.
Antara lokasi yang terkesan adalah Jabal Al Zawiyah, sementara pusat kawalan pemerhatian Turki di bandar Kansafra dikatakan mengalami serangan paling teruk hingga mencederakan dua orang tentera yang sedang bertugas.
Serangan turut menyasarkan kawasan tanah perkuburan di Afes, timur Idleb. Kejadian itu telah meragut dan mencederakan beberapa orang penduduk setempat yang sedang berkabung.
Pada 24 Jun pula, serangan artileri mula dilancarkan sejak awal pagi dengan menyasarkan kawasan luar bandar barat Aleppo.
Seorang kanak-kanak lelaki di bandar Al Atareb dilaporkan cedera dalam insiden itu manakala penduduk di bandar Taqad, Tadil dan Kafr Taal menjadi panik kerana turut menjadi sasaran pengeboman.
Islamic Relief masih memantau keadaan semasa di Syria dan sekiranya serangan masih berlanjutan, bantuan kemanusiaan akan mula digerakkan melibatkan bantuan perlindungan, barangan bukan makanan (NFI) dan makanan untuk pelarian Syria yang terjejas.