Manusia berkomunikasi dengan pelbagai kaedah. Ada yang berkomunikasi melalui perbualan, dan ada juga yang berkomunikasi menggunakan teknologi baharu seperti telefon pintar. Melalui komunikasi, maklumat atau informasi dapat disalurkan kepada orang lain dengan lebih berkesan agar mereka mendapat mesejnya. Namun, sistem komunikasi tersebut terbatas buat golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Golongan OKU boleh dikategorikan kepada beberapa kelas iaitu visual, pendengaran, percakapan, dan cacat anggota badan. Setiap kategori ini mempunyai kaedah dan tatacara komunikasi berbeza ketika berbicara melainkan golongan cacat anggota yang mampu bercakap, melihat, dan mendengar seperti biasa.
Artikel ini akan berkongsi tips-tips dan tatacara komunikasi dengan beberapa kategori OKU.
- Kurang Upaya Penglihatan
Jika anda berjumpa dengan OKU visual, jadilah diri anda dan bawa perwatakan seperti orang biasa. Berikut adalah beberapa tips oleh Vision Australia yang boleh dijadikan panduan.
- Perkenalkan diri anda seperti biasa. Mereka mungkin tidak kenal anda melalui suara.
- Intonasi percakapan yang biasa tetapi jelas. Golongan buta tidak semestinya hilang pendengaran.
- Gunakan bahasa harian namun elakkan perkataan seperti “lihat ini” atau “tengoklah” agar mereka tidak tersinggung.
- Jika berada dalam kumpulan, perkenalkan setiap orang dengan jelas.
- Jangan tinggalkan perbualan begitu sahaja, seeloknya beritahu terlebih dahulu.
- Sekiranya anda menunjukkan arah, jelaskan secara terperinci seperti “Tingkap berada di sebelah kanan anda” berbanding dengan “Tingkap berada di situ”.
- Kurang Upaya Pendengaran
Bagi kategori ini, penglihatannya mungkin jelas dan mampu untuk melihat orang yang berkomunikasi dengannya namun pendengaran mereka menjadi batasan. Berikut adalah beberapa tatacara oleh Deaf-Hearing Communication Centre apabila berkomunikasi dengan mereka.
- Elakkan menjerit dan bercakap terlampau kuat.
- Elakkan percakapan berkumat-kamit.
- Kurangkan ekspresi muka dan penekanan wajah ketika berbicara bagi mengelakkan salah faham.
- Jika berkomunikasi secara lisan, elakkan bercakap terlampau laju atau terlampau perlahan.
- Jika berkomunikasi secara tulisan, pastikan anda faham konteks sebelum menyampaikan.
- Gambar dan lukisan mungkin boleh jadi alat pemudah.
- Gunakan teknologi seperti penggunaan komputer, telefon pintar, dan emel.
- Kurang Upaya Percakapan
Kategori ini lain pula ceritanya. Kebolehan melihat dan mendengar mungkin dikurniakan namun mereka tidak mampu berkata-kata. Jika anda berkomunikasi dengan mereka, ikuti langkah berikut seperti yang dicadangkan oleh Health & Disability Commissioner.
- Tenang dan cuba menjadi pendengar seandainya mereka ingin berkata-kata.
- Jika anda ingin bertanya, ajukan soalan yang memerlukan jawapan ringkas seperti angguk dan geleng.
- Cuba berkomunikasi melalui tulisan sekiranya anda tidak faham dengan mesej disampaikan.
- Elakkan penekanan muka sekiranya anda tidak faham.
- Elakkan berkata-kata jika mereka ingin berkomunikasi dengan anda.