TRUSTED SINCE 1984

“Kita bantu orang, tapi akhirnya mereka bantu kita”
Menyedari kepentingan penglibatan mahasiswa dan golongan muda dalam bidang kemanusiaan serta kesukarelawanan, Kelab UNESCO di bawah kelolaan “University Centre for Community Engagement” (UCCE – BUDI), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil inisiatif mengadakan ruang bicara bagi merealisasikan harapan itu.
Menerusi pentas bicara yang diadakan, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IRM), Elfaeza Ul Haq dan Mizz Nina yang terlibat secara langsung bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Cinta Syria Malaysia sama-sama berkongsi pengalaman dan rasa gembira apabila dapat menghulurkan bantuan kepada insan-insan memerlukan.
Kedua-dua selebriti ini menyokong sepenuhnya penglibatan mahasiswa dalam kerja-kerja amal kerana ia banyak memberi impak positif dalam membentuk jati diri seseorang selain berupaya menjadi kompas hidup dalam kita melaksanakan amanah sebagai khalifah di muka bumi Allah.
Kefahaman dan kesedaran seperti ini nyata sangat memberi manfaat kepada pembangunan negara juga ke arah mewujudkan dunia prihatin.
Dalam konteks kehidupan masa kini, kita tidak dapat menafikan bahawa manusia terpaksa berlumba-lumba untuk maju seiring arus kemodenan semasa agar tidak kelihatan mundur dan masih ditakuk lama.
Namun, dalam keghairahan itu nilai kemanusiaan harus tetap menjadi teras utama agar si miskin tidak terus mewarisi kemiskinannya manakala si kaya tenggelam dalam lautan kemewahan tanpa menunduk ke bawah.
Disebabkan itu, peranan untuk mengajak masyarakat ke arah kebaikan perlu dilaksanakan semua pihak. Syukur, saat ini trend semasa telah menunjukkan ramai golongan artis dan selebriti tanah air mula melibatkan diri dalam kerja-kerja amal.
Perkembangan positif ini turut dikongsi oleh Mizz Nina dalam sesi perkongsian bersama mahasiswa UIAM. Baginya, inilah peluang untuk para selebriti memainkan peranan serta tanggungjawab untuk meningkatkan keprihatinan masyarakat terhadap penderitaan orang lain.
Jelas sekali refleksi penglibatan kerja amal mampu mengubah pemikiran dan tingkah laku seseorang. Maka tidak hairanlah ada sesetengah institusi pengajian tinggi mewajibkan pembabitan mahasiswa dalam kerja suka dan rela kerana yang mereka mahu lahirkan bukan hanya graduan cemerlang dalam akademik tetapi turut memiliki modal insan terbaik.
Keterlibatan mahasiswa dalam lingkungan aktiviti kemanusiaan juga mampu melonjak tahap kebolehpasaran yang jauh lebih tinggi kerana platform ini boleh melatih kemahiran insaniah seseorang ketika menjalankan tugas.