LUBNAN, 15 Jun 2020 – Kumpulan demonstrasi dan tunjuk perasaan di Lubnan menjadi semakin ekstrim berikutan kemerosotan ekonomi dan kejatuhan nilai mata wang impak pandemik Covid-19.
Dilaporkan, penunjuk perasaaan telah melemparkan bom petrol dan batu ke arah pasukan keselamatan, bank serta bangunan kerajaan di Beirut dan Tripoli.
Ketegangan yang berlaku di Lubnan sebenarnya telah bermula Oktober 2019 dan mulai reda sejak Mac 2020 berikutan arahan kawalan pergerakan juga perintah berkurung yang dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19.
Natijahnya, keadaan ekonomi Lubnan menjadi semakin merosot. Ribuan penduduk hilang pekerjaan manakala pekerja bergaji harian tidak mendapat upah daripada majikan.
Kebanyakan penduduk sudah tidak mampu untuk menanggung keperluan harian dalam meneruskan kelangsungan hidup.
Islamic Relief Lubnan kini sedang meneliti dan merangka gerak kerja untuk membantu penduduk setempat.