DHAKA, 25 Mac 2021 – Sebanyak 9,176 rumah musnah membabitkan lebih 87,855 orang dalam satu kebakaran yang berlaku di kem pelarian Balukhali, Cox’s Bazar Bangladesh, 22 Mac lalu.
Kebanyakan pelarian kini terpaksa mendapatkan perlindungan di kem pelarian lain yang berhampiran selain menumpang di rumah saudara-mara, rakan, pusat pembelajaran dan pusat pemindahan sementara Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).
Namun, terdapat juga para pelarian yang ditemui tidur di tepi jalan dan kawasan ladang.
Selain itu, 15 nyawa dilaporkan terkorban manakala 400 lagi masih hilang. Angka ini dijangka akan terus meningkat.
Menurut sumber Pesuruhjaya Tinggi Refugee Relief and Repatriation Commissioner (RRRC), kebakaran ini meletus pada lewat petang Isnin seterusnya merebak ke empat blok kediaman di kem itu dengan sangat cepat.
Proses memadamkan kebakaran dikatakan mengalami kesukaran kerana kebanyakan pondok yang ada terletak di kawasan berbukit dan tidak dapat diakses oleh trak pemadam api.
Terkini, Islamic Relief Bangladesh sedang menjalankan penilaian keperluan asas yang diperlukan serta menghantar beberapa orang kakitangan tambahan untuk mempercepatkan proses membantu penduduk terjejas.
Antara keperluan mendesak yang bakal disalurkan oleh Islamic Relief ialah barangan bukan makanan (NFI), kemudahan air, sanitasi dan kebersihan (WASH) dan perlindungan.