TRUSTED SINCE 1984

Jutaan penduduk Malawi kelaparan akibat hasil tanaman yang tidak memuaskan

Lebih 6 juta penduduk Malawi memerlukan bantuan kemanusiaan berikutan kesan El Nino.

Kadar hujan yang berkurangan dan suhu melebihi paras purata di Malawi telah menyebabkan 40% penduduk negara itu kelaparan.

Peladang sara hidup wanita adalah golongan paling terjejas kerana mereka tidak sentiasa mempunyai akses kepada tanah atau peralatan pertanian.

Meliya Beka, merupakan salah seorang daripada 9,080 penduduk Daerah Chikwawa, Malawi, yang menerima bungkusan makanan selama tiga bulan dari Islamic Relief.

Beliau berkata: “Tahun ini, saya telah cuba untuk menanam sekoi tahan kemarau, tetapi ia tidak membuahkan hasil.

“Saya tidak berjaya menuai satu beg makanan pun. Kadang kala saya terfikir, sekiranya saya mempunyai suami, sekurang-kurangnya dia tahu apa yang boleh dilakukan.

“Saya akan berjalan ke dalam hutan dan mencari ubi liar yang boleh dimasak untuk anak-anak saya sekembalinya mereka dari sekolah. Sekiranya saya tidak menemui apa-apa, kami akan tidur dengan perut yang lapar.”

Di daerah Meliya, 90% dari populasi pedalamannya berdepan risiko kebimbangan makanan dan di kawasan yang sedang dibantu Islamic Relief (termasuklah kawasan Autoriti Tradisional Chapananga, di mana Meliya tinggal) 39, 720 orang tidak mempunyai bekalan makanan yang cukup.

Islamic Relief sedang membantu golongan petani wanita dengan menyediakan mereka sistem pengairan yang mampan, latihan, amalan pertanian dan penternakan ikan.