TRUSTED SINCE 1984

Islamic Relief Malaysia Terus Salur Bantuan Meski Gerak Kerja Terbatas

BANGI, 7 April 2020 – Dalam melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan, Islamic Relief Malaysia terus pro aktif menyalurkan bantuan kepada golongan terjejas meski proses gerak kerja di lapangan terbatas.

Para petugas menganggap kekangan yang dilalui sebagai satu cabaran dan pengalaman baru selain dilihat dapat melatih diri menjadi lebih kreatif dan kritis dalam mencari kaedah untuk memastikan amanah penyumbang telus kepada penerima.

Antara bantuan yang telah diberikan ialah 1000 helai topeng muka kepada Akademi Audit Negara yang menajdi pusat kuarantin bagi rakyat Malaysia yang baru pulang dari Iran, sembilan kotak makanan yang mengandungi biskut, makanan segera, susu, air kotak bersama air mineral kepada petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin, Hospital Ampang, Selangor dua unit ‘pharmaceutical refrigerator’ untuk bahagian farmasi di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan dengan usaha sama Persatuan Pelajar MRSM Malaysia (Ansara), Taiping, Perak.

Selain itu, sukarelawan Islamic relief Malaysia yang terdiri daripada ahli jawatankuasa Bilik Gerakan Khas (BGK) Pantai Timur telah menyalurkan bantuan keperluan asas seperti beras, telur, sardine, tepung dan minyak masak kepada 80 keluarga yang mengalami sakit kronik di kalangan komuniti petani dan penoreh getah di sekitar Batu Karang dan Kedai Buloh, Pasir Mas, Kelantan.

BGK Pantai Timur turut memberikan bantuan Nasi Ayam 60 keluarga penoreh getah di sekitar Rantau Panjang, Kelantan.

Tidak hanya di Semenanjung, kakitangan Islamic Relief Malaysia di Borneo juga berusaha meringankan bebas golongan terjejas dengan kerjasama MyAmal dan Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) dengan mengagihkan pek makanan yang mengandungi beras, biskut, gula dan sebagainya kepada penduduk di kawasan Inanam dan Menggatal, Sabah.

Komuniti pelarian juga tidak diabaikan kebajikannya. Seramai 60 keluarga Rohingya yang juga ibu bapa penjaga kepada para pelajar di pusat bimbingan alternatif Refugee Intellectual Skills & Excellence (RISE) telah menerima bantuan pek makanan keperluan asas, ayam segar, kit kebersihan dan bantuan kewangan.

Islamic Relief Malaysia melalui dana yang dikumpulkan daripada tabung kempen Rayuan Kecemasan COVID-19 turut menyalurkan bantuan kewangan kepada agensi-agensi dan institusi-institusi barisan hadapan seperti pihak hospital bagi membantu proses pembelian barangan Personal Protective Equipment (PPE) seperti face mask, surgical gown, head cap, face shield dan hand sanitizer, pusat jagaan warga emas serta penerima manfaat dari kalangan ibu tunggal, peniaga atau penjaja kecil yang hilang punca pendapatan juga keluarga yang berpendapatan harian selain menyalurkan bantuan barangan seperti kelengkapan perubatan dan ‘sleeper chair’.

Bantuan bagi golongan tejejas Covid-19 ini akan terus di agihkan dari masa ke semasa mengikut perancangan dan keperluan mendesak penerima manfaat serta pihak hospital yang telah dikenalpasti.