BANGI, 6 April 2023 – Islamic Relief Malaysia telah mengedarkan 210 bubur lambuk, 100 pek kurma dan risalah kempen Rezeki Ramadan kepada orang awam di sekitar Bangi Sentral, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Objektif program ini dijalankan adalah untuk mempergiatkan lagi hebahan berkaitan kempen dan aktiviti yang dijalankan ketika bulan Ramadan.
“Selain aktif menjalankan program-program kebajikan membantu golongan rentan, Islamic Relief Malaysia turut merasakan pentingnya untuk menjalinkan hubungan dan interaksi secara terus bersama orang awam dalam usaha menyebarkan maklumat mengenai gerak kerja kemanusiaan yang dijalankan,” kata Mohd Shukor Tahir, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia.
Tambahnya, pendekatan ini juga dilihat dapat menjadi ruang buat kakitangan Islamic Relief Malaysia untuk berkenalan dan merapatkan hubungan dengan pemilik premis-premis di kawasan kejiranan ini sambil mengajak mereka untuk turut serta terlibat dalam kerja-kerja tanggungjawab sosial.
Diharapkan pelaksanaan kempen Rezeki Ramadan dan kempen-kempen bantuan lain yang dijalankan Islamic Relief Malaysia terus mendapat capaian yang lebih meluas serta mendapat sokongan pelbagai pihak agar misi untuk membantu golongan memerlukan dapat diperluaskan lagi.