TRUSTED SINCE 1984

Islamic Relief bersama-sama menyertai sambutan pelancaran Hospital Kanak-Kanak Nelson Mandela

KENYATAAN AKHBAR, 2 Disember 2016

  • Acara pelancaran hospital dengan 200 katil di Johannesburg pada 2 Disember
  • Islamic Relief telah membiayai unit onkologi sebanyak $7.7juta/110 m ZAR
  • Waseem Ahmad, Pengarah Program Antarabangsa telah berucap semasa pelancaran
  • Wakil Islamic Relief Afrika Selatan, Worldwide, AS dan UK kesemuanya telah hadir dan sedia ditemuramah

Islamic Relief adalah salah satu daripada tiga penderma kepada Hospital Kanak-Kanak Nelson Mandela baru ini yang dijemput berucap pada majlis pelancaran hospital tersebut di kawasan Parktown, Johannesburg pada Jumaat, 2 Disember.

Jurucakap kami adalah Waseem Ahmad, Pengarah Program Antarabangsa untuk Islamic Relief Worldwide, yang telah memainkan peranan utama dalam menyelaraskan sokongan global untuk projek yang dianjurkan oleh rakan Islamic Relief di seluruh dunia.

smaller-pic

Usahasama ini telah menyalurkan derma berjumlah $7.7 juta yang dikumpul daripada keluarga Islamic Relief untuk membiayai unit onkologi hospital tersebut – termasuklah $2.5 juta dari Islamic Relief UK dan $1.75 juta lagi dari Islamic Relief Amerika Syarikat, dua negara penyumbang tunggal terbesar.

“Hospital ini telah dibangunkan selama 11 tahun lamanya dan saya amat gembira melihat ia kini beroperasi,” kata Waseem Ahmad.

“Islamic Relief amat berbangga kerana berpeluang membiayai unit onkologi, menyediakan talian hayat untuk kanak-kanak penghidap kanser dengan keadaan di mana benua Afrika mempunyai kemudahan pakar yang sangat terhad.

“Kami juga berasa amat bertuah kerana dapat menyumbang kepada kemudahan paling terkini yang amat diperlukan oleh para pesakit, dan menjadi sebahagian dari pencapaian ini adalah sebuah tanda penghormatan kepada Nelson Mandela.

“Dengan hampirnya sambutan ulang tahun kematiannya pada 5 Disember kelak, tiada cara lain yang lebih bertepatan untuk meraikan sumbangan serta perjuangannya selain dari melancarkan Hospital Kanak-Kanak Nelson Mandela – sebuah obor harapan kepada kanak-kanak Afrika Selatan untuk masa akan datang.

“Sumbangan besar Islamic Relief ke atas projek ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa sifat dermawan komuniti Islam yang berhati mulia di seluruh dunia.

“Etos hospital ini mencerminkan etos yang dipegang Islamic Relief sendiri – kami membantu golongan yang amat memerlukan, tanpa mengira bangsa atau agama.”

smaller-pic

Selain unit onkologi yang dibiayai oleh Islamic Relief, hospital yang memiliki 200 katil ini juga mempunyai pusat-pusat kecemerlangan dalam bidang kardiologi dan pembedahan kardiotoraks; hematologi;nefrologi; pulmonologi; pembedahan kraniofasial; neurosains; dan juga pembedahan pediatrik umum. Hospital ini dijangka akan menerima kumpulan pesakit kanak-kanak pertamanya untuk rawatan dialisis dan radiologi pada Tahun Baru nanti.

Islamic Relief telah menyumbang $7.7 juta (110 juta ZAR) untuk menyokong sepenuhnya unit onkologi hospital tersebut.  Kemudahan ini akan menjadi contoh piawaian kepada pusat perubatan kanak-kanak yang lain. Cirinya termasuklah kemudahan dan makmal transplan sumsum tulang; penjagaan dan katil rawatan intensif; sebuah farmasi khusus; dan kemudahan radiologi.

Menurut data terbaru dari Yayasan Kanser Kanak-Kanak CHOC, satu daripada setiap 600 kanak-kanak Afrika Selatan mengalami kanser sebelum mencecah umur 16 tahun. Namun, lebih daripada 40 peratus kanak-kanak Afrika Selatan tidak pernah mendapatkan rawatan pakar. Hanya terdapat empat hospital pakar kanak-kanak di seluruh pelosok benua Afrika, jika dibandingkan dengan 20 pusat yang ada di UK. Hospital Kanak- Kanak Nelson Mandela (NMCH) diharapkan dapat mengubah statistik yang suram ini.

Untuk maklumat lanjut atau untuk menguruskan temuramah dengan wakil Islamic Relief di Johannesburg berkenaan pelancaran ini, atau untuk mendapatkan gambar atau rakaman dari pasukan Islamic Relief yang bertugas pada majlis tersebut, sila hubungi Martin Cottingham di talian 00-44-7702-940982 (martin.cottingham@islamic-relief.org.uk).

NOTA KEPADA EDITOR

  • Islamic Relief adalah badan kebajikan bantuan dan pembangunan antarabangsa yang bertujuan untuk meringankan penderitaan yang dihadapi golongan termiskin di hampir 30 negara, terutamanya di Afrika, Asia, dan Timur Tengah. Selain menyediakan bantuan bencana dan kecemasan, Islamic Relief juga mempromosi pembangunan ekonomi dan sosial yang mampan dengan kerjasama komuniti tempatan – tanpa mengira bangsa, agama atau jantina. Dengan ibu pejabat global di UK, Islamic Relief mempunyai pejabat di lebih 40 negara dan telah membantu lebih 110 juta orang sepanjang 32 tahun penubuhannya. Operasi terbesar semasa Islamic Relief adalah bantuan krisis Syria: ia telah menyalurkan bantuan bernilai lebih $190 juta kepada lebih 6.5 juta penduduk Syria yang masih berada di Syria dan negara berhampiran sejak konflik ini bermula. Untuk maklumat lanjut, sila layari islamic-relief.org
  • Islamic Relief Afrika Selatan adalah ahli penting dalam keluarga global Islamic Relief, dari segi pengumpulan dana dan pelaksanaan program – seperti penajaan anak yatim, projek bekalan air bersih dan inisiatif pembangunan komuniti. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.islamic-relief.org.za/what-we-do/
  • Boleh dihubungi semasa pelancaran Hospital Kanak-Kanak Nelson Mandela: Waseem Ahmad (Pengarah Program Antarabangsa) dan Martin Cottingham (Pengarah Komunikasi) – Islamic Relief Worldwide; Anwar Khan (Pegawai Eksekutif Kanan) – Islamic Relief AS; Tufail Husain (Timbalan Pengarah) – Islamic Relief UK; Norman Moyo (Ketua Program) – Islamic Relief Afrika Selatan.