Bandar Baru Bangi, 8 Mac 2018 – Islamic Relief Malaysia (IRM) hari ini menerima kunjungan khas dari Mantan Menteri Koordinator Bidang Perekonomian, Indonesia, Prof. Emeritus Dorodjatun Kuntjoro-Jakti dan delegasi dari Universiti Malaya.
Kunjungan khas itu diadakan bertujuan untuk mengenali Islamic Relief sebagai badan organisasi kemanusiaan secara menyeluruh.
Katanya, beliau tertarik dengan misi-misi kemanusiaan yang diusahakan oleh IRM dan bercadang untuk bekerjasama dengan organisasi ini pada masa akan datang.
Dorodjatun sempat menegaskan misi-misi kemanusiaan tidak seharusnya berhenti dan maklumat mengenai projek yang dilakukan perlu dilaporkan kepada masyarakat.
Ia dilihat sebagai satu tanggungjawab dan langkah proaktif bagi menyedarkan masyarakat di seluruh negara berhubung dengan isu-isu kemanusiaan yang sering berlaku.
Beliau percaya bahawa sokongan dan dorongan dari aspek sosiologi dan psikologi perlu ditekankan selain saluran bantuan kewangan dan barangan demi memberi semangat kepada penerima manfaat supaya mereka tidak putus asa dalam hidup.