TRUSTED SINCE 1984

IRM Terima Kunjungan Hormat

Kajang, 17 Julai 2019 – Islamic Relief Malaysia (IRM) menerima kunjungan hormat dari delegasi Kementerian Luar Negeri (KLN) bersama wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau lebih dikenali sebagai “The UN special rapporteur to Myanmar”, Yanghee Lee ke Refugee Intellectual Skills & Excellence (RISE) di Kajang, Selangor.

Kunjungan khas itu diadakan bertujuan untuk melihat serta mendalami bagaimana pusat bimbingan alternatif ini beroperasi dalam memberi bantuan pendidikan kepada kanak-kanak pelarian.

“IRM sangat berbesar hati kerana RISE menjadi salah satu tempat pilihan untuk dikunjungi wakil khas PBB yang sangat berpengalaman luas dalam isu-isu hak asasi manusia ketika lawatannya ke Malaysia,” kata Sharlina Adnan, Pengarah Bahagian Program Domestik IRM.

Berdasarkan input serta maklum balas dalam sesi soal jawab bersama pihak delegasi, RISE dilihat mempunyai potensi untuk dijadikan model contoh kepada sekolah alternatif lain kerana mampu menyediakan pusat pendidikan yang selesa, kondusif dan selamat untuk kanak-kanak.

Barisan tenaga penggerak RISE dan IRM juga menyatakan mereka sentiasa merangka pelan penambahbaikan untuk sekolah ini supaya sistem pendidikan para pelajar selari dengan kehendak dan keperluan semasa.

IRM berharap semoga kunjungan delegasi ini menjadi titik mula kepada jaringan kolaborasi strategik antara IRM, Kementerian Luar Negeri dan wakil khas PBB demi membela nasib anak-anak pelarian di negara ini.