TRUSTED SINCE 1984

IRM Selami Kesulitan Golongan Istimewa

Malaysia merupakan negara yang amat sinonim dengan penduduk berbilang bangsa yang meraikan perayaan mengikut kepercayaan masing-masing. Semangat keharmonian yang dipupuk sejak puluhan tahun lalu adalah tunjang dalam menjamin kesejahteraan dan perpaduan kaum.

Selaras dengan visi dan misi Islamic Relief Malaysia (IRM) yang tidak memandang warna kulit dalam menghulurkan bantuan, satu program sentuhan kasih diadakan bersama penghuni the Handicapped and Mentally Disabled Children’s Association (HMDCA), Kulai, Johor bagi meraikan sambutan Tahun Baru Cina 2018 yang bakal menyapa tidak lama lagi.

Program ini diilhamkan oleh IRM ini diberi nama ‘Program Interaksi Bersama Orang Kelainan Upaya (OKU) Sempena Tahun Baru Cina 2018. Ia diadakan bagi menerapkan integrasi kaum dalam kehidupan masyarakat berbeza kulit selain dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara pihak IRM dengan penghuni pusat jagaan tersebut.

Meskipun sambutan Tahun Baru Cina merupakan perayaan teragung bagi masyarakat Cina, pusat jagaan itu juga dihuni oleh golongan yang berbeza budaya seperti India dan Cina. Pihak IRM melihat perayaan itu sebagai batu loncatan dalam memupuk semangat kemasyarakatan sekaligus dapat mewujudkan keceriaan kepada mereka untuk menyambut perayaan itu walaupun tanpa ahli keluarga di sisi.

Kali ini, bantuan sempena Tahun Baru Cina tertumpu kepada golongan OKU. Seperti tahun lalu, IRM telah berjaya menganjurkan program Konvoi Share the Joy bagi menyantuni 20 keluarga penerima manfaat di Kampung Bandar Baru Bangi. Ia melibatkan kakitangan serta sukarelawan IRM untuk menziarahi rumah-rumah bagi menyerahkan Ang Pau, makanan, dan juga hamper.

Antara kelainan yang ditampilkan adalah aktiviti ‘tak kenal maka tak cinta’, menyanyi dan menari bersama, dan melenggok seni. Rasionalnya, aktiviti-aktiviti tersebut merupakan satu langkah praktikal bagi memahami perilaku dan sifat golongan istimewa ini selain mendekati mereka dengan lebih mesra.

Sebenarnya golongan seperti ini memerlukan pendekatan yang menyenangkan agar mereka tidak berasa stress dan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini seperti salah faham komunikasi antara satu sama lain. Antara cabaran yang dihadapi sepanjang perjalanan program adalah struktur komunikasi antara pihak IRM dengan golongan OKU. Sebagai manusia yang mampu berinteraksi dengan baik, kita haruslah menjaga sensitiviti golongan ini supaya mereka tidak berkecil hati.

Menjelang Tahun Baru Cina 2018, sukarelawan IRM turut berpeluang untuk menghiasi pusat jagaan itu dengan pelbagai dekorasi bagi mewujudkan suasana perayaan agar mereka dapat merasai kemanisan perayaan itu walaupun sanak-saudara tidak bersama mereka. Aktiviti ini merupakan salah satu cara untuk menzahirkan rasa tanggungjawab orang ramai terhadap golongan ini dalam menceriakan kehidupan mereka yang kurang bernasib baik.

Tuntasnya, setiap lapisan masyarakat berperanan untuk menyantuni golongan istimewa ini dengan memberi bantuan dalam pelbagai bentuk tanpa sebarang diskriminasi terhadap sesuatu kaum. Apa yang perlu disemaikan adalah secangkir perhatian dan secebis kasih sayang agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup.