TRUSTED SINCE 1984

IRM Kongsi Keceriaan Bersama OKU

Kulai, 12 Februari 2018 – Kira-kira 300 penghuni the Handicapped and Mentally Disabled Children’s Association (HMDCA) menerima manfaat menerusi Program Interaksi Bersama Orang Kelainan Upaya (OKU) Sempena Tahun Baru Cina 2018 anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin, program itu bertujuan untuk menerapkan integrasi kaum dalam kehidupan masyarakat berbilang bangsa selain dapat mengeratkan silaturahim antara kakitangan dan sukarelawan IRM dengan penghuni rumah jagaan tersebut.

Kebanyakan penerima manfaat datang dari pelbagai bangsa seperti  Cina, India, dan Melayu yang terdiri daripada golongan kurang upaya, anak yatim, dan warga emas.

Majoriti penerima juga tidak mempunyai waris bahkan tidak mengetahui waris mereka dan kebanyakan kes diterima dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau dihantar oleh keluarga mereka sendiri tanpa dicas sebarang bayaran untuk perkhidmatan.

Program itu tidak hanya menitikberatkan pemberian sumbangan malah kelainan yang ditampilkan pada kali ini adalah interaksi bersama penghuni dan menghias rumah jagaan mereka menjelang Tahun Baru Cina 2018 dalam melahirkan keceriaan untuk menyambut perayaan tersebut walaupun tanpa ahli keluarga di sisi.

Pada masa yang sama, pihak IRM juga turut menganjurkan program sambutan Tahun Baru Cina bagi meraikan dan menyantuni penerima manfaat kaum cina di dua lokasi berbeza iaitu di Persatuan OKU Negeri Perak, Sungai Siput Perak, dan Rumah Jagaan OKU Si Putih, Seremban, Negeri Sembilan.