TRUSTED SINCE 1984

IRM Galak Orang Ramai Jadi Prihatin

Cheras, 24 Mac 2018 – Islamic Relief Malaysia (IRM) mengajak orang ramai untuk menjadi prihatin terhadap isu kemanusiaan global menerusi Kempen Pelancaran #SalamRamadan 1439H.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin, kempen itu bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai kempen Ramadan yang dilaksanakan sehingga pertengahan Jun di samping meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap isu kemanusiaan global yang sering berlaku.

 

Katanya, “Melalui kempen ini, kami menyasarkan kutipan dana sebanyak RM10 juta untuk pelbagai sektor bantuan seperti kesihatan, makanan, pendidikan, air, sanitasi dan kebersihan, perlindungan, Orang Kelainan Upaya (OKU), dan anak yatim.”

 

Bagi tahun ini, IRM akan mengagihkan pek makanan Ramadan sebanyak 6,000 di seluruh negara dan 3,540 pek makanan di lebih 30 negara.

 

Zairulshahfuddin turut menegaskan kempen #SalamRamadan tahun ini akan memberi impak kepada 63,000 penerima manfaat dalam negara dan 3.4 juta penerima manfaat di luar negara menerusi pelbagai projek termasuklah pek makanan Ramadan, mySedekah, projek tempatan, projek antarabangsa, kecemasan, wakaf, dan Al-Yateem.

 

Beliau juga menyifatkan rakyat Malaysia yang mempunyai nilai keprihatinan tinggi akan dapat membantu misi IRM dalam mengurangkan isu-isu kemanusiaan yang berlaku di seluruh dunia.

 

Dalam majlis pelancaran itu, satu persembahan tarian kilas (flash mob) oleh kakitangan IRM berjaya menarik perhatian orang awam melalui sketsa kemanusiaan yang ditonjolkan seperti gempa bumi, kemarau, kebuluran, dan pendidikan.

 

Majlis pelancaran itu turut mendapat sokongan dari pihak MyTown dan Restoran Santai Penyet.