TRUSTED SINCE 1984

IRM Berbesar Hati Terima Kunjungan Hormat Delegasi Kementerian Dan Wakil PBB

Kajang, 10 Sept 2019 – Islamic Relief Malaysia (IRM) berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada delegasi Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Pendidikan Malaysia dan wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Refugee Intellectual Skills & Excellence (RISE) di Kajang, Selangor.

 

Kunjungan khas itu diadakan bertujuan memenuhi lawatan kerja ke Malaysia yang dijalankan oleh Michelle Bachelet, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia bermula 3 hingga 6 Oktober 2019.

 

Menariknya, ini merupakan kali pertama seorang Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia mengadakan lawatan ke negara ini sekaligus menjadi pengiktirafan kepada usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan hak asasi manusia.

 

Kehadiran beliau turut diiringi Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Datin Sri Norzamani Abdol Hamid, Pengarah Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

Antara perkara yang dibincangkan oleh IRM bersama pihak delegasi terhormat ialah perancangan masa depan kanak-kanak pelarian Rohingya setelah menamatkan pembelajaran di sekolah ini serta cadangan penambahbaikan latihan kemahiran kepada para pelajar.

 

Usai sesi perbincangan, para tetamu dibawa melawat ke setiap kelas untuk berinteraksi dan melihat suasana pembelajaran di RISE selain menonjolkan hasil tangan para pelajar dalam melakukan aktiviti seni, tanaman dan jahitan.

 

IRM berharap semoga kunjungan delegasi ini menjadi titik mula kepada jaringan kolaborasi strategik antara IRM, pihak kementerian dan PBB demi membela nasib anak-anak pelarian di negara ini.