BANGI, 24 Feb 2024 – Seramai 19 orang peserta menghadiri Kursus Induksi Sukarelawan atau Volunteer Induction Course (VIC) yang dianjurkan oleh Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) bertempat di pejabat IR Malaysia, yang terletak di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi.
Para peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional menyertai kursus tersebut yang bertujuan untuk memperkenalkan IR Malaysia dan melatih para peserta mengenai dunia kemanusiaan dan kesukarelawanan.
Pegawai Kanan Bahagian Penjanaan Dana IR Malaysia, Ramlah Halim berkata, kebanyakan peserta ialah mereka yang baru berdaftar sebagai sukarelawan dan ingin mengenali IR Malaysia secara mendalam.
“Antara modul yang kami sampaikan dalam kursus tersebut ialah asas kemanusiaan dan kesukarelawanan, asas pengurusan projek kemanusiaan berimpak, Code of Conduct dan Core Humanitarian Standard serta asas penjanaan dana.
“Kesemua modul ini disampaikan oleh kakitangan IR Malaysia sendiri. Alhamdulillah, maklum balas yang kami terima sangat memberangsangkan dan kami juga terima beberapa permintaan untuk menganjurkan lagi kursus sebegini selepas ini,” katanya.
Selain penyampaian empat modul, IR Malaysia turut memperkenalkan permainan Fundraising Monopoly bagi memudahkan dan meningkatkan kefahaman para peserta.
“Seronok dapat dengar pengalaman sukarelawan yang memang bekerja di lapangan. Jadi, ia sangat membuka mata saya, membuka minda saya dan saya rasa tak sabar nak betul-betul terlibat dalam projek-projek yang dijalankan.
“Lagipun Islamic Relief ni well established NGO, jadi saya sangat look forward untuk networking opportunities, kenal lebih ramai orang dan sebagainya,” kongsi Aina, salah seorang peserta VIC.
IR Malaysia turut merancang beberapa aktiviti sepanjang tahun ini membabitkan sukarelawan seperti agihan pek makanan Ramadan, MySinggah Ramadan, kursus bahasa isyarat, kursus pertolongan cemas, pembersihan pantai, aktiviti mendaki gunung dan lain-lain.