Saban tahun, umat Islam pasti berasa teruja untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan yang penuh dengan barakah. Tidak dinafikan, Ramadan adalah penghulu segala bulan yang menggalakkan setiap umatnya untuk beribadah dalam mencari keredhaanNya. Selain itu, ia juga merupakan bulan yang terbaik untuk bersedekah dan menghulur bantuan kepada mereka yang memerlukan. Bagaimanapun, apa kaitannya dengan Ramadan Relief?
Dalam konteks ini, ia termasuklah memberi makan kepada manusia lain yang merupakan perbuatan rohani dan amatlah digalakkan menurut pegangan dan ajaran Islam.
Islamic Relief Malaysia (IRM) sebagai sebuah organisasi antarabangsa amat mengambil berat terhadap isu-isu berkaitan kemanusiaan di seluruh negara. Justeru, IRM menggerakkan program tahunan iaitu Ramadhan Relief dalam usaha meringankan beban mereka yang memerlukan.
Ia adalah program tahunan yang dilaksanakan oleh Islamic Relief di seluruh dunia bagi membantu golongan kurang berkemampuan dengan pemberian agihan pek makanan asas untuk menampung keperluan makanan selama sebulan di bulan Ramadan. Makanan yang dimaksudkan termasuklah beras, tepung, minyak masak, gula, dan teh.
Di Malaysia, IRM bekerjasama dengan Maybank Islamic bagi melaksanakan program ini. Bantuan- akan diberikan kepada golongan asnaf seperti fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal, dan Orang Kelainan Upaya (OKU). Selain meringankan beban mereka, fokus utama IRM adalah untuk mengukuhkan pembangunan masyarakat melalui peningkatan tahap kesedaran dan menggalakkan tindakan secara praktikal menerusi sokongan orang ramai terhadap projek ini yang membawa kepada kemaslahatan penerima manfaat.
Tahun ini, IRM menyasarkan seramai 5,000 keluarga untuk dibantu di seluruh Malaysia dengan jumlah 300 pek makanan bagi setiap negeri manakala 700 pek makanan bagi Sabah dan Sarawak. Agihan dijangka berakhir seminggu sebelum puasa.
Dalam pada itu, IRM tidak sahaja melancarkan program ini di Malaysia, malah ia meliputi negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) termasuklah Indonesia, Filipina, Myanmar, Thailand, Kemboja, Vietnam, Singapura, Brunei, dan Laos. Bagi negara ASEAN, jumlah pek makanan yang diagihkan adalah sebanyak 8,680.
Melalui program ini, IRM berharap agar golongan kurang berkemampuan dapat merasai kemanisan Ramadan bersama di samping dapat menunaikan ibadah dengan selesa. Ia juga sejajar dengan salah satu nilai yang dipraktikkan oleh Islamic Relief iaitu keikhlasan, yakni keperluan untuk memenuhi tanggungjawab kepada manusia dengan jujur dan tidak mementingkan diri sendiri.