Hari Wanita Sedunia – Mengatasi Sempadan

Kita kini berada dalam fasa di mana kemiskinan dan ketidakadilan dari segi jantina bertambah kritikal.

  • Wanita kurang mendapat akses kepada pendidikan, kesihatan, makanan, dan pekerjaan.
  • Wanita merangkumi 60 peratus daripada golongan kebuluran.
  • Wanita juga merupakan mangsa kematian bencana alam.

Dalam dunia yang pesat membangun, sedarkah kita bahawa wanita adalah golongan yang terpinggir dalam pelbagai aspek yang mengehadkan potensi mereka dalam pembangunan komuniti.

Selaras dengan Hari Wanita Sedunia, kami berbesar hati untuk berkongsi cerita mengenai kejayaan wanita yang telah mengharungi pelbagai pancaroba dalam hidup mereka.  

 

Hala, 24, Gaza

Hala berkahwin pada tahun 2014. Beliau bertunang selama 11 bulan ketika umurnya 20 tahun dan hanya mempunyai kamera sebagai teman di sisinya. Beliau telah merakam pelbagai memori indah yang pernah dilalui.

Setiap gambar yang diambil tersemat dalam ingatannya. Beliau menyimpan semua kenangan pada tarikh itu. Perkahwinan dianggap sebagai perjalananan hidup yang baharu untuk masa-masa yang akan datang. Ia mungkin dilihat sebagai kenangan indah namun sebaliknya, Hala kurang senang apabila disoal berhubung perkara itu.

Suaminya Khaled bekerja sebagai jurufoto namun ditimpa maut ketika memegang kamera dan mendokumentasi peperangan di Gaza. Apa yang menyedihkan, kamera yang sama jugalah merakam saat-saat kematian Khaled. Kemalangan itu meninggalkan impak yang besar terhadap Hala, menurutnya:  

“Pada hari itu semua kebahagiaan, impian, dan harapan hancur serta-merta. Kematian suami saya sangat mengejutkan. Kami baru sahaja berkahwin dan bercadang untuk mengembangkan legasi kami. Saya tidak sanggup menanggung keperihan itu dan hidup saya menjadi suram.”

Keluarga dan rakan-rakan Hala berusaha memujuknya untuk menamatkan pengajian di universiti selepas anak perempuannya dilahirkan, Tolin. Tolin merupakan sumber tenaga, inspirasi, dan motivasi bagi Hala. “Kehilangan suami kini bukanlah penamat hidup saya.”  

Hala kini menggunakan kameranya dan memulakan sesi fotografi bersama rakan-rakan. Biarpun langkahnya perlahan namun reputasi beliau meningkat demi hari dan kini beliau adalah jurufoto yang profesional. Hari ini, beliau menjana pendapatan melalui gambar yang diambil.
 

 

 

Samina, Pakistan

Kehidupan Samina tidak mudah. Ibunya meninggal dunia ketika berumur 15 tahun. Sebaik sehaja beliau tamat peperiksaan pada tahun ke 10, beliau telah dikahwinkan. Beliau dikurniakan anak perempuan namun ia bukanlah sesuatu yang disukai oleh suaminya memandangkan dia mahukan anak lelaki. Lantaran itu, suaminya bertindak kasar terhadapnya. Keadaan bertambah buruk apabila suaminya mengambil keputusan untuk berkahwin lain selepas mendapati anak kedua mereka juga adalah perempuan. Kehidupan Samina terus terkesan selepas suaminya meninggal dunia kerana beliau tidak mampu untuk membayar sewa penginapan dan telah dipaksa berpindah ke bilik yang lain.

Semasa anak-anaknya sakit, kesihatan Samina turut terjejas dan beliau tiada sumber kewangan tetap. Apa yang ada hanyalah hasil daripada upah mengajar tuisyen dan pada masa yang sama beliau turut menyambung pelajaran. Sesudah itu, beliau mula mengajar di sekolah, walaupun bayarannya agak rendah tetapi ia mampu untuk menanggung keperluan harian.

Islamic Relief (IR) turut menghulur bantuan kepada anak-anak Samina bagi mengurangkan beban yang ditanggung olehnya. Samina juga menggalas tanggungjawab sebagai penaung bagi Orphan Guardian Groups (OGG) yang dibangunkan oleh IR. Ia sekaligus memberi peluang kepada Samina untuk mencari wanita yang kurang berkemampuan. Dengan tanggungjawab yang digalas, beliau mendengar dan memahami masalah mereka dan cuba mencari jalan penyelesaian.

Selepas beberapa lama, beliau berkahwin semula. Namun suaminya tidak bersetuju untuk memberi pendidikan kepada anak perempuan Samina. Selain itu, suami keduanya juga bertindak kasar dari segi fizikal dan emosi kerana memaksa Samina untuk melahirkan anak dari benih suaminya. Lebih teruk, suaminya tidak mahu mempunyai hubungan dengan anak perempuan Samina. Lantaran itu, Samina mengambil keputusan untuk meninggalkan suaminya dan berpindah bersama anak-anak perempuannya.

Beliau dikurniakan anak perempuan beberapa bulan selepas itu dan beliau menghadapi kesukaran apabila suaminya mengambil kesemua harta Samina. Namun, beliau tetap gagah berdiri.

“Saya tetap akan berdiri teguh walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran sejak perkahwinan pertama dan kedua saya.”

Dengan bantuan IR, beliau berjaya membuka sebuah pusat tuisyen Disember tahun lalu. Ia bermula dengan 10 orang pelajar dan kini telah meningkat kepada 32.

 

 

 

 

Om Ismail, Gaza

Keadaan ekonomi yang tenat di wilayah Gaza telah menyebabkan ramai wanita terpaksa mencari pekerjaan untuk menyara keluarga. 

Tahun lalu, 41 orang wanita bekerja dalam sebuah syarikat yang diuruskan oleh wanita dan syarikat itu menghasilkan pes kurma yang digunakan dalam masakan dan pembuatan kuih.

Om Ismail Abu Mandeel, 45 tahun, menyara lapan orang ahli keluarganya. Beliau merupakan pengasas syarikat berkenaan. Rutinnya akan bermula seawal jam empat pagi dan bergerak ke tempat kerjanya pada jam tujuh pagi.

“Setiap manusia mempunyai perjuangan sendiri yang membuatkan mereka bekerja keras demi keluarga. Contohnya, saya mampu untuk membayar yuran pelajaran anak saya dengan hasil titik peluh kerja dan apabila mereka tamat belajar, saya akan menyara lagi untuk anak saya yang lain.”

Pembuatan pes kurma bukanlah mudah dan sangat mengerah tenaga wanita kerana mereka tidak mempunyai sumber untuk mengeringkan kurma itu dengan cepat.

“Setelah Islamic Relief memberi sumbangan melalui Projek Pembangunan Ekonomi Golongan Kurang Berkemampuan, kami dapat mengeringkan kurma dengan lebih pantas. Bantuan Islamic Relief sangatlah penting untuk kami terus bekerja dan kami sangat gembira atas bantuan yang dihulurkan.”

“Kami tidak perlu menunggu kurma untuk kering lagi, kami dapat melakukannya dalam masa setengah hari. Ia sekaligus membantu kami untuk menghasilkan lebih banyak pes kurma”, katanya. “Alhamdulillah, kami tidak lagi kerugian kurma dan pekerja-pekerja turut gembira.”

“Kami menghasilkan 25 tan pes kurma tahun lepas atas bantuan Islamic Relief. Kami berharap kuantiti itu akan bertambah sebanyak 40 tan tahun ini.”

“Kami masih memerlukan peti ais, dan kami sangat bercita-cita tinggi untuk mengembangkan perniagaan supaya hasil kami dapat dipelbagaikan seperti kuih-kuih yang menggunakan pes kurma atas kerja keras wanita. Justeru, kami boleh mengambil ramai pekerja wanita.”

“Kami sangat berbangga apabila dapat menghasil sesuatu produk yang dihasilkan oleh tenaga wanita. Semua pekerja turut berasa bangga terhadap hasil kerja kami. Kini kami lebih yakin untuk meningkatkan keadaan ekonomi di sini.”

 

 

 

 

Shefaly, Bangaldesh

Shefaly mempunyai seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Selepas kematian suaminya, beliau bekerja keras untuk meneruskan hidup. Beliau mula bekerja sebagai penjahit untuk menjana pendapat walaupun ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan pakaian, pendidikan, dan kesihatan untuk anak-anaknya. Saban hari ramai yang mengalami kebuluran termasuklah anak-anaknya yang meminta makanan tetapi Shefaly tidak berkemampuan. Saudara terdekat Shefaly turut menjauhkan diri dari mereka.

Pada tahun 2015, Islamic Relief (IR) mengadakan lawatan ke tempatnya dan mendapati beliau layak diberi bantuan.

“Ini adalah titik perubahan hidup saya. Kami berjaya membentuk sebuah organisasi dan Islamic Relief membantu kami dengan pelbagai bantuan untuk meningkatkan kesedaran di kawasan ini yang berkait rapat dengan sosial, kesihatan, dan kemahiran kekeluargaan. IR membantu kami dari segi kemahiran dan bantuan lain dalam membangunkan perniagaan, permohonan untuk geran dan menyalurkan kami kepada pembekal perkhidmatan kerajaan. Kami membentuk satu kesatuan dan Self-Help Women’s Forum untuk mempertahankan hak wanita.”

“Pada tahun 2016, saya mula menjana pendapatan dengan pelbagai bidang kerja seperti menjahit, menternak anak itik dan ayam, menternak kambing dan lembu serta penanaman padi melalui tanah yang disewa. Saya mampu mengeluarkan keluarga saya dari kancah kemiskinan.”

Shefaly kini adalah contoh wanita berjaya dalam komunitinya. Beliau berjaya keluar dari kemiskinan, mempunyai ladang sendiri, memberi pendidikan kepada anaknya serta membantu wanita dalam komuniti yang sama.

Encik Shashi Mohan, penduduk dalam kampung yang sama turut menyatakan, “Setelah kematian suaminya, Shefaly bekerja di tempat berbeza, kawasan pertanian, jahitan dan kadang-kadang meminta bantuan dari penduduk untuk menguruskan makanan. Kini beliau mempunyai lembu, kambing, ayam, ladang, dan pam air. Beliau juga mampu menjana pendapatan untuk menguruskan perbelanjaan keluarganya serta membantu wanita-wanita lain. Dia adalah contoh dalam komuniti kami.”